Mahathir Mohamad menyampaikan replika
cek RM50,000 juara keseluruhan PGMC 2012 kepada pasukan dari UIAM Smart
Mobility yang diwakili oleh Dekan Fakulti Kejuruteraan UIAM, Prof.
Datuk Wira Mohd. Nor Salleh (tiga dari kanan), Pengurus Pasukan Prof.
Madya Dr. Md. Ataur Rahman dan pemandu (pelajar tahun akhir Kejuruteraan
Mekanikal Automotif), Mohd Nasruddin Ahmad di Litar Antarabangsa
Sepang, semalam.
*****
SEPANG 7 Okt. - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad
mencabar pengeluar kereta nasional, Proton Holdings Bhd. (Proton)
merampas kembali status sebagai pengeluar kereta nombor satu di
Malaysia.
Beliau berkata, Proton perlu mengeluarkan kereta yang berkualiti dan
diterima ramai sebelum berhasrat melangkah ke peringkat antarabangsa.
"Kita mahu melihat Proton menjadi pemain utama dalam penjualan kereta
di negara ini jadi Proton mesti mengeluarkan kereta yang diterima
ramai," katanya selepas majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Proton
Green Mobility (PGMC) 2012 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) di sini
hari ini.
PGMC merupakan perlumbaan kereta melibatkan universiti tempatan dalam
mereka bentuk dan membangunkan semula kereta Proton model Saga untuk
dijadikan kenderaan elektrik.
Sebanyak 10 universiti tempatan mengambil bahagian dalam perlumbaan
14 pusingan itu yang bertujuan mempromosikan penggunaan kenderaan hibrid
dan elektrik.
Dalam pertandingan itu, pasukan Smart Mobility dari Universiti Islam
Antarabangsa Malaysia (UIAM) berjaya mengungguli tempat pertama manakala
tempat kedua dan ketiga masing-masing dirangkul Universiti Malaysia
Pahang dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka.
Mengulas lanjut Dr. Mahathir berkata, jika Proton berhasrat
melebarkan sayap ke peringkat global, produk keluarannya perlu mampu
dijual di Malaysia terlebih dahulu.
Sementara itu, beliau menggesa pengeluar kereta tempatan mencipta
teknologi baharu dengan menggunakan kepakaran jurutera tempatan.
Pada masa ini ujar beliau, industri automotif tempatan banyak
bergantung kepada teknologi luar dan meminggirkan kepakaran tempatan.
"Kita mempunyai jurutera tetapi tidak memperkenalkan teknologi
baharu, kebanyakan hanya memasang produk yang dibuat oleh orang lain dan
guna apa jua teknologi dari luar.
"Masanya sudah tiba untuk kita memikirkan teknologi baharu supaya
kita mempunyai harta intelek yang dengan sendirinya boleh menyumbang
kepada ekonomi negara," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan