SUDAH lama tidak menjenguk dan menyelak apa yang berlaku di Pulau
Pinang. Kali terakhir Selak menyelak isu Pulau Mutiara itu ialah pada
Jun lalu. Kali terakhir saya pulang ke Permatang Pauh ialah pada Hari
Raya Aidilfitri ketiga yang lalu melalui Lapangan Terbang Antarabangsa
Bayan Lepas yang ketika ini timbul cadangan oleh Ketua Menteri, Lim Guan
Eng untuk ditukarkan kepada Lapangan Terbang P.Ramlee. Ketika itu
sempatlah singgah di Padang Kota Lama, menikmati pasembur atau orang
luar panggil rojak. Pada 16 September lalu, di Dewan Bandaran
berhampiran Padang Kota Lama, berlangsung pula persembahan boria yang
digabungkan dengan audio visual menarik. Tahniah kepada sahabat saya
Omar Hashim @ Omara yang memimpin persembahan di depan bangunan warisan
itu.
Syukurlah boria yang menggabungkan sketsa dan nyanyian masih wujud di
Pulau Pinang. Tahniah juga kepada semua penggiat boria walaupun ramai
yang berpengalaman sudah tidak ada bersama. Dulu seingat saya, boria
Sungai Pinang memang meletup. Pada masa yang sama ketika kita
mempertahankan boria jangan pula dilupa nasib masa depan. Kita tidak
mahu masa depan sekadar menjadi sketsa dan nyanyian. Di atas pentas
nampak menarik. Pantun seloka mencuit hati penonton. Cukupkah sekadar
meriah di pentas dan orang bertepuk tangan tanda gembira? Itu boria,
sekadar selingan kerana kebetulan Selak kali ini mahu kembali ke Pulau
Pinang.
Sejak kebelakangan ini, banyak isu politik yang menarik perhatian di
Pulau Pinang. Tidak pasti adakah apa yang berlaku sama ada melibatkan
parti pembangkang di negeri itu iaitu Barisan Nasional (BN) atau
kerajaan negeri yang diterajui DAP dan PKR boleh dianggap sandiwara
politik atau boria? Isu yang menarik perhatian tentulah berkaitan dengan
Ketua Menteri, Guan Eng yang dilabelkan oleh Timbalannya Mansor Othman
sebagai manusia angkuh, sombong dan tokong. Masing-masing kini sibuk
menepis kerana isu ini umpama mendedahkan hubungan sebenar DAP-PKR
di negeri itu. Paling mudah akan menuduh media cuba twist-twist dan
turn-turn (pusing) (meminjam kata-kata Guan Eng kepada TV3) isu rakaman
percakapan Mansor pada Mesyuarat Strategik PKR Pulau Pinang yang
dikatakan berlangsung pada April lalu.
Sudah menjadi lumrah, setiap kelemahan yang didedahkan melibatkan
DAP, PKR, Pas, akan ada saja suara yang mengatakan semuanya permainan
politik parti komponen BN. Inilah kaedah paling popular untuk cuci
tangan, tidak bersedia menyatakan kebenaran. Berikutan pergeseran
itu, timbul pula cerita bahawa Mansor sebagai Timbalan Ketua Menteri 1
akan digantikan dengan Exco Kerajaan Negeri, Abdul Malik Abul Kasim (PKR
Batu Maung). Tidak pasti sejauh mana kebenarannya tetapi kalau begitu
tanggapan orang No.2 terhadap orang No.1 negeri, bagaimana mahu bekerja?
Kalaulah keadaan ini diterbalikkan iaitu berlaku semasa BN yang
memerintah diterajui Dr. Koh Tsu Koon dan Dr. Ibrahim Saad, maka sudah
lama mereka didesak letak jawatan oleh musuh-musuh politik. Dalam
politik apabila tahi burung terkena di atas batang hidung sendiri,
semuanya wangi. Bagi mereka ibarat kocakan air dalam cawan.
Bagaimanapun, Mansor sebagai Pengerusi PKR Pulau Pinang masih bernasib
baik (sehingga semalam). Beliau tidak diundurkan. Keadaan ini jauh
berbeza dengan tindakan orang kampung penulis, Dr. Mohammad Fairus
Khairuddin yang lebih berani mengambil risiko. Beliau mengalah selepas
tewas di gelanggang jawatan.
Baginya adalah lebih bermaruah berundur selepas gagal menunaikan
tanggungjawab yang diamanahkan disebabkan faktor-faktor dalaman. Keadaan
ini nampaknya tidak berlaku kepada Mansor yang dibawa terjun ke kawasan
Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti untuk mengisi kekosongan yang
ditinggalkan Mohammad Fairus. Mujurlah BN tidak meletak calonnya pada
pilihan raya kecil (PRK) itu. Mansor dicabar oleh calon-calon Bebas.
Mungkin penduduk Penanti tidak meratap jika Mansor berundur kecuali
pengundi-pengundinya. Itu pun belum pasti sama ada mereka ini
benar-benar menyokongnya atau sekadar syok keluar mengundi. Maklumlah,
Permatang Pauh mencatat rekod PRK yang diadakan kerana peletakan jawatan
wakil rakyat - pertama seorang isteri meletak jawatan untuk memberi
laluan kepada suami, kedua Fairus yang mulanya meletak jawatan untuk
belajar (kemudian mengkritik kerajaan negeri) dan ketiga berikutan
kematian wakil rakyat Pas di DUN Permatang Pasir. Jika Mansor meletak
jawatan sebagai wakil rakyat sekarang, tidak akan berlaku PRK kerana
tempoh DUN Pulau Pinang akan berakhir tahun depan. Persoalannya adakah
pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, Mansor akan dicalonkan semula?
Sama-sama kita nantikan episod lakonan seterusnya.
Satu lagi isu yang menarik ialah soal tanah di Taman Manggis, Pulau
Pinang. Mengikut BN, tanah seluas 0.45 hektar milik kerajaan negeri itu
pada mulanya mahu digunakan untuk membina rumah Fasa Kedua Projek
Perumahan Rakyat (PPR) tetapi dijual kepada sebuah syarikat untuk
dibangunkan dengan hotel 19 tingkat, enam tingkat hospital dan lima
tingkat tempat letak kereta. Bagaimanapun selepas didesak pelbagai
pihak, kerajaan negeri DAP menawarkan penjualan tanah itu kepada BN.
Harganya RM22 juta. Tawaran itu disambut BN demi memenuhi tanggungjawab
menyediakan rumah untuk rakyat. BN setuju membelinya. Bagaimanapun bukan
mudah untuk membeli tanah milik kerajaan negeri itu yang juga dianggap
BN sebagai tanah rakyat.
Selepas mahu membayar deposit RM222,073 secara tunai, BN terpaksa
memasukkan wang itu ke dalam akaun kerajaan negeri. Satu lagi syarat
ialah BN diberi tempoh 30 hari untuk melunaskan bakinya. Begitulah
laluan yang akan ditempuh oleh BN untuk memastikan rumah rakyat menjadi
kenyataan. Adakah dalam hal ini, kerajaan negeri DAP tidak boleh
bertimbang rasa demi untuk rakyat? Jika DAP tidak berupaya membina rumah
untuk rakyat, eloklah menerima peluang yang ditawarkan BN. Jual tanah
akan membantu kerajaan negeri DAP dapat duit dan pada masa yang sama
dapat rumah untuk rakyat. Eloklah dipermudahkan kerja-kerja kebajikan
untuk rakyat, sesuai dengan slogan negara berkebajikan. Biarlah apabila
bercakap kita buat. Takkan semua isu nak berdolak dalik? Itu belum masuk
soal gerai penjaja khususnya melibatkan orang Melayu di Pulau Pinang
termasuk di Padang Kota. Memang benar, masalah penjaja Melayu ini bukan
isu baru. Kalau tak percaya tanyalah Abdul Malik yang pernah aktif
sebagai Ketua Pemuda UMNO Tanjong. Mungkin dulu isu ini tidaklah sehebat
empat tahun kebelakangan ini. Entah kenapa. Mungkin dulu lain sekarang
lain. Dulu BN kini DAP.
Akhirnya, mengenai nama lapangan terbang, sebelum ditukar kepada nama
P. Ramlee, eloklah jenguk seketika ke Jalan P.Ramlee. Menyelak kembali
sejarah menamakan jalan P.Ramlee ini, saya masih ingat bagaimana
susahnya untuk menukarkan Jalan Counter Hall kepada nama seniman agung
itu. Kini setelah usaha itu berjaya, apakah situasi di kawasan itu
sekarang? Bagaimana pengurusan atau penjagaan kawasan sekitarnya? Banjir
masih kerap berlaku. Seeloknya kawasan itu dipulihkan dahulu supaya
apabila orang mendarat di lapangan terbang (jika dinamakan dengan
P.Ramlee) yang indah itu mereka tidak terkejut apabila berkunjung ke
kawasan kelahiran P.Ramlee terutama ketika hujan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan