Pages

8 November 2012

Ayat 256 surah al-Baqarah hanya tertakluk orang bukan Islam

KUALA LUMPUR 6 Nov. - Pesuruhjaya Pas Johor, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed berkata, ayat 256 surah al-Baqarah yang menyentuh mengenai tiada paksaan dalam agama hanya tertakluk kepada orang bukan Islam.
Beliau berkata, sudah menjadi dasar Islam yang tidak memaksa sesiapa pun untuk memeluk atau mematuhi ajaran Islam kecuali orang Islam.
"Bagi orang Islam, mahu tidak mahu wajib mematuhi segala perintah Allah SWT dan menjauhi segala larangan-Nya seperti wajib bersolat, berpuasa pada bulan Ramadan dan menunaikan ibadah haji.
"Begitu juga dengan larangan minum arak, berjudi dan berzina," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mengulas lanjut Mahfodz berkata, bagi orang Melayu yang masih belum beragama Islam, sememangnya mereka tidak boleh dipaksa untuk memeluk Islam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar memetik ayat 256 surah al-Baqarah yang ditafsirkannya merangkumi seluruh umat manusia.
Kontroversi melibatkan Ahli Parlimen Lembah Pantai itu tercetus apabila beliau dalam satu berita yang disiarkan portal propembangkang, Malaysiakini baru-baru ini dipetik sebagai berkata, rakyat tidak seharusnya dipaksa mengamalkan agama tertentu dan perkara itu juga perlu terpakai kepada orang Melayu.
Kenyataan tersebut disuarakan Nurul Izzah ketika menjadi salah seorang ahli panel forum bertajuk Negara Islam: Versi Mana; Siapa Bertanggungjawab? yang diadakan di Subang Jaya, Selangor Sabtu lalu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan