KUALA LUMPUR 6 Nov. - Pesuruhjaya Pas Johor, Datuk Dr. Mahfodz
Mohamed berkata, ayat 256 surah al-Baqarah yang menyentuh mengenai tiada
paksaan dalam agama hanya tertakluk kepada orang bukan Islam.
Beliau berkata, sudah menjadi dasar Islam yang tidak memaksa sesiapa
pun untuk memeluk atau mematuhi ajaran Islam kecuali orang Islam.
"Bagi orang Islam, mahu tidak mahu wajib mematuhi segala perintah
Allah SWT dan menjauhi segala larangan-Nya seperti wajib bersolat,
berpuasa pada bulan Ramadan dan menunaikan ibadah haji.
"Begitu juga dengan larangan minum arak, berjudi dan berzina," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mengulas lanjut Mahfodz berkata, bagi orang Melayu yang masih belum
beragama Islam, sememangnya mereka tidak boleh dipaksa untuk memeluk
Islam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Naib
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar memetik ayat 256
surah al-Baqarah yang ditafsirkannya merangkumi seluruh umat manusia.
Kontroversi melibatkan Ahli Parlimen Lembah Pantai itu tercetus
apabila beliau dalam satu berita yang disiarkan portal propembangkang,
Malaysiakini baru-baru ini dipetik sebagai berkata, rakyat tidak
seharusnya dipaksa mengamalkan agama tertentu dan perkara itu juga perlu
terpakai kepada orang Melayu.
Kenyataan tersebut disuarakan Nurul Izzah ketika menjadi salah
seorang ahli panel forum bertajuk Negara Islam: Versi Mana; Siapa
Bertanggungjawab? yang diadakan di Subang Jaya, Selangor Sabtu lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan