Berikut ialah kenyataan penuh Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor
(MAIS), Datuk Mohamad Adzib Mohd. Isa berhubung kenyataan Naib Presiden
Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar dalam Forum Negara
Islam: Versi Mana; Siapa Bertanggungjawab? di Subang Jaya, Selangor
Sabtu lalu.
Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) terkejut dan kesal dengan
kenyataan yang dikeluarkan oleh Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat
(PKR), Nurul Izzah Anwar, dalam Forum Negara Islam: Versi Mana; Siapa
Bertanggungjawab? seperti mana yang disiarkan dalam akhbar dan media
tempatan pada 4 dan 5 November 2012 yang berkata apabila anda bertanya
saya, tiada paksaan dalam beragama... mengapa sesetengah pihak rasa
bersalah, perkara ini (kebebasan beragama) hanya terpakai kepada orang
bukan Melayu, sepatutnya diguna pakai secara sama rata."
MAIS khuatir kenyataan yang sedemikian boleh mengelirukan dan
mempengaruhi orang Melayu yang beragama Islam di Selangor berikutan
kenyataan tersebut dikeluarkan oleh salah seorang pemimpin kanan pakatan
pembangkang yang kini mentadbir kerajaan negeri Selangor itu.
MAIS menegaskan ajaran Islam, kebebasan beragama hanya terpakai
kepada orang bukan Islam yang mana mereka bebas untuk memeluk agama
Islam atas kesedaran dan kemahuan sendiri tanpa sebarang paksaan.
Walau bagaimanapun, setelah memeluk agama Islam, mereka tidak lagi
bebas memilih agama lain dan keluar dari agama Islam. Sebagai orang
Islam, mereka semua perlu mematuhi semua ajaran agama Islam yang dibawa
Nabi Muhammad SAW.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sebagai Ketua Agama
Islam Selangor dan pelindung hak dan kepentingan bangsa Melayu begitu
terkejut dengan kenyataan tersebut dan menolak sama sekali sebarang
pandangan bahawa orang Melayu mempunyai kebebasan untuk memilih agama
lain.
Seterusnya, Islam adalah salah satu syarat yang menentukan status
sebagai orang Melayu seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 160 (2)
Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu, pemikiran liberalisme atau
pluralisme ini amat bahaya kerana akan menghakis hak kedudukan dan
keistimewaan orang Melayu yang sedia termaktub dalam perlembagaan serta
undang-undang sedia ada.
Sebagai Penasihat Tuanku Sultan Selangor, MAIS akan bertegas dalam
membantu baginda dalam bersikap waspada, peka dan tegas terhadap
mana-mana pihak sama ada secara langsung atau tidak langsung, mencabar
kemurnian agama Islam baik dari segi fahaman mahupun amalan, khususnya
di Selangor.
MAIS bertegas bahawa apa-apa pun agenda mahupun tindakan berorientasi
politik tidak boleh sesekali menggadai kedudukan, fahaman dan
pelaksanaan Islam di negeri Selangor khususnya dan Malaysia amnya.
MAIS telah mengarahkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) membuat siasatan untuk tindakan sewajarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan