Poster bertemakan 'Pakatan Harapan Rakyat' cantik pada slogannya tetapi belum tentu ditunaikan PKR kepada rakyat.
*****
BARU-baru ini, Parti Keadilan Rakyat (PKR)
menerusi laporan media melancarkan papan iklan dan poster kempen baru
parti itu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang.
Poster yang bertemakan 'Pakatan Harapan Rakyat' itu antaranya turut
mempromosikan janji-janji parti itu kepada rakyat seperti menurunkan
harga kereta, menurunkan harga minyak dan sebagainya termasuk
menayangkan gambar Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang
berpakaian 'marhaen' bersama-sama kanak-kanak yang menaiki sebuah
basikal tua.
Barangkali itulah strategi PKR, menggunakan apa yang ada termasuk
kanak-kanak untuk meraih sokongan pengundi terhadap parti mereka.
Namun, daripada papan iklan dan poster kempen PKR itu, terdapat satu
yang menarik perhatian ialah poster menunjukkan tiga orang muda dengan
tulisan tertera 'Harapan Rakyat, Pendidikan Percuma, Hapuskan PTPTN'
yang mana poster tersebut seolah-olah disasarkan kepada golongan pelajar
dan graduan institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini.
Barang kali orang ramai yang mendengar janji tersebut sudah pastinya
akan tertarik dengan tawaran tersebut yang mana mereka menganggap ia
satu perkara yang luar biasa yang banyak memberikan manfaat kepada
mereka khususnya para penuntut institusi pengajian tinggi di negara ini.
Yalah, belajar dibiayai dengan percuma, lepas belajar, dapat kerja,
tak perlu fikir-fikir lagi nak mengatur kewangan untuk membayar apa-apa
pinjaman pelajaran. Gaji yang diperoleh setiap bulan masuk terus ke
dalam kocek.
Pemikiran sedemikian pastinya wujud di kalangan pelajar IPT sebaik
sahaja mendengar pemimpin pakatan mendendangkan janji berkenaan dalam
setiap ceramah mereka di merata ceruk di negara ini.
Namun, bagi mereka yang membuat penilaian terhadap janji tersebut,
pastinya mereka merasa sangsi dengan tawaran PKR itu yang sebenarnya
hanyalah satu 'gula-gula' sahaja dengan bertujuan untuk melariskan
'muka-muka' pemimpin pakatan pembangkang menjelang pilihan raya umum
akan datang.
Ini kerana, sebagai contoh, penghapusan pinjaman PTPTN akan memberi
kesan kepada kemampuan kewangan Kerajaan Pusat kerana terpaksa
menyalurkan peruntukan yang tinggi bagi memastikan operasi
universiti-universiti awam dapat meneruskan operasi mereka dari segi
pentadbiran, pembayaran gaji kakitangan termasuk kos pembinaan atau
menaik taraf kemudahan universiti.
Ini kerana, terdapat kira-kira 20 buah Institusi Pengajian Tinggi
Awam (IPTA) di seluruh negara yang mana sebilangan besar kewangan utama
mereka adalah bergantung kepada bayaran yuran yang dikutip daripada para
pelajar manakala sebahagian lagi diperoleh menerusi peruntukan yang
disalurkan oleh Kerajaan Pusat.
Jika pakatan pembangkang berjanji mahu memansuhkan PTPTN dan memberi
pendidikan tinggi percuma, ia membawa maksud bahawa sumber kewangan
utama IPTA akan bergantung sepenuhnya kepada peruntukan daripada
Kerajaan Pusat.
Namun, sekiranya berlaku pertambahan pelajar di IPTA seluruh negara
pada masa depan, ia bermakna Kerajaan Pusat perlu menambahkan lagi
kemudahan yang terdapat di institusi-institusi berkenaan.
Maka, untuk memastikan kemudahan tersebut supaya selari dengan
pertambahan pelajar, maka peruntukan kewangan perlu ditambah oleh
Kerajaan Pusat mungkin melebihi kadar yang sebelumnya.
Bagaimanapun, apabila bercakap mengenai pertambahan peruntukan, pasti
ada pandangan bahawa ia adalah tanggungjawab kerajaan untuk
menyediakannya. Namun, sedar atau tidak bahawa peruntukan yang
disalurkan oleh kerajaan bukanlah tertakluk kepada IPTA semata-mata.
Sebaliknya, kerajaan bertanggungjawab menyalurkan peruntukan kewangan
secara seimbang dalam semua sektor yang wujud di negara ini sama ada
dalam soal menguruskan pentadbiran, ekonomi, sosial rakyat, pertahanan
dan sebagainya bagi memastikan negara dan rakyat terus berada pada
landasan pembangunan yang betul menjelang tahun 2020.
Ini kerana, penyaluran peruntukan kerajaan sekiranya tidak diagihkan
secara seimbang, ia semestinya akan memberi implikasi besar terhadap
pertumbuhan negara dan rakyat yang mana perkiraannya tidak boleh dibuat
berasaskan faktor meraih populariti politik semata-mata.
Ini hakikat yang perlu diterima dan difahami oleh semua pihak,
bukannya seperti PKR dan sekutu mereka, DAP dan Pas yang membuat janji
yang dilihat bersifat sementara serta emosional bagi menarik sokongan
rakyat semata-mata.
Malah, berdasarkan kepada buku Jingga yang dikeluarkan pakatan
pembangkang, mereka tidak menyatakan secara jelas apakah usaha mereka
untuk meninggikan lagi pendapatan kerajaan bagi membolehkan janji
tersebut dilaksanakan.
Bagaimanapun, contoh yang lebih jelas dapat dilihat mengenai janji
pakatan pembangkang memberikan pendidikan tinggi percuma itu boleh
dianggap satu 'janji kosong' kerana mereka sepatutnya melaksanakannya
terlebih dahulu pendidikan tinggi percuma dan menghapuskan pinjaman
PTPTN di negeri yang dikuasai mereka seperti di Kelantan, Pulau Pinang,
Kedah dan Selangor.
Di Selangor sendiri, terdapat dua buah institusi pengajian tinggi di
bawah kerajaan negeri iaitu Universiti Selangor (Unisel) dan Kolej
Universiti Islam Selangor (KUIS) yang mana pakatan pembangkang boleh
melaksanakan janji mereka untuk memberikan pendidikan percuma dan
membiayai sepenuhnya pengajian pelajar di kedua-dua institusi itu
sekiranya mereka benar-benar mahu menjaga kebajikan rakyat.
Malangnya, mereka tidak melaksanakannya janji itu kononnya ia hanya
akan dilakukan jika mereka berjaya menawan Putrajaya daripada Barisan
Nasional (BN).
Kalau benar pakatan pembangkang serius mahu menjaga kebajikan rakyat,
apa masalahnya mereka lakukan dahulu di KUIS dan Unisel, mengapa mereka
perlu tunggu untuk menguasai Kerajaan Pusat. Sebenarnya tidak usahlah
berdolak-dalik mengenai janji ini, kalau tidak boleh laksanakan, usah
berjanji.
Hakikatnya, apa yang dilihat ialah prestasi Unisel yang dilaporkan
mengalami kerugian apabila syarikat yang mengendalikan universiti itu,
Pendidikan Industri YS Sdn. Bhd. (PIYSB) dilaporkan mencatatkan kerugian
sebelum cukai sebanyak RM37.63 juta pada tahun 2010.
Berdasarkan Laporan Ketua audit Negara 2011, mendapati kerugian
sebelum cukai itu merupakan peningkatan sebanyak 198.1 peratus
berbanding RM12.62 juta pada tahun 2009 yang antaranya berpunca daripada
bilangan kemasukan pelajar yang berkurangan.
Malah laporan audit itu juga turut menyatakan perbelanjaan PIYSB
sepanjang tempoh sama pula meningkat daripada RM83.53 juta pada 2008
kepada RM95.78 juta (2009) dan RM102.87 juta pada tahun 2010.
Berdasarkan angka tersebut, cuba kita bayangkan apa nasib Unisel jika
janji pakatan pembangkang memberikan pendidikan tinggi percuma dan
pemansuhan PTPTN itu dilakukan, barangkali statistik kerugian sebelum
cukai itu mungkin lebih tinggi lagi melebihi angka RM37.63 juta.
Begitu juga dengan pendapatan Unisel, barangkali juga tiada langsung dicatatkan.
Daripada perkembangan tersebut, sewajarnya rakyat dapat menilai apa
maksud sebenarnya janji-janji pembangkang ini. Contoh yang jelas
mengenai kepincangan mereka menguruskan negeri telah pun wujud,
bagaimana pula keadaannya jika mereka menguasai Putrajaya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan