Pages

8 November 2012

Kedudukan Melayu, agama Islam dalam Perlembagaan tidak boleh dikompromi

NURUL Izzah Anwar, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat, yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai, ketika menjawab soalan di Forum Negara Islam di Subang Jaya pada 4 November 2012, telah menyatakan bahawa "…Apabila anda bertanya saya, tiada paksaan dalam beragama… mengapa sesetengah pihak rasa bersalah, perkara ini (kebebasan beragama) hanya terpakai kepada orang bukan Melayu, sepatutnya digunapakai secara sama rata." Beliau menegaskan lagi, "apa yang perlu dicari adalah kualiti yang mana iman umat Islam adalah kuat."
Daripada kenyataan ini, dapat dilihat betapa tidak matang dan kurang bijaknya (lacks wisdom) anak muda ini. Masih banyak yang perlu dipelajarinya. Memang benar, Islam tidak memaksa. Aspek free will dan kebebasan (Al-Quran surah al-Baqarah, ayat 256) dalam Islam memang jelas; tetapi Islam juga menerangkan tentang kelemahan manusia (Al-Quran surah al-Maidah ayat 28), yang sentiasa memerlukan perlindungan.
Bagi seorang individu Islam, memang menjadi tanggung jawab individu tersebut untuk mencapai tahap iman dan ihsan supaya tiada apa yang akan menggugat keimanannya. Itu tanggung jawab sebagai seorang individu. Tetapi Nur Izzah tidak sedar, selain daripada dirinya sebagai individu, beliau juga ialah seorang Ahli Parlimen (wakil rakyat beragama Islam dan sebagai seorang umat Islam, kita semua bertanggungjawab sebagai khalifah, lebih-lebih lagi apabila seseorang itu merupakan salah seorang pemimpin dalam sesebuah negara).
Jadi, beliau bukan sahaja mempunyai tanggungjawab bagi mempertahankan Islam untuk dirinya sendiri (Alhamdullillah, jika kuat imannya), tetapi di samping perlu menjaga dirinya, beliau mempunyai tanggungjawab yang lebih besar sebagai seorang pemimpin untuk melindungi lebih daripada 16 juta umat Islam lain dalam negara ini dengan apa cara juga yang terbaik.
Inilah sebenarnya yang telah difikirkan oleh para pemimpin negara yang terdahulu sejak merdeka lagi, yang bertanggungjawab untuk melindungi agama Islam dan umatnya di bawah Perlembagaan Persekutuan, Perkara 160 (2) yang mana, ditakrifkan seorang Melayu sebagai seorang yang beragama Islam, bertutur bahasa Melayu dan mengamalkan adat istiadat Melayu. Ini perlu dipertahankan dengan jiwa dan raga orang Melayu, kerana sejarah juga telah membuktikan hakikat ini seperti dalam kes Natrah yang telah meyebabkan Rusuhan Natrah di Singapura pada tahun 1950. Rusuhan ini terjadi disebabkan timbulnya sentimen agama yang perlu dipertahankan oleh orang Melayu.
Betapa ruginya umat Islam apabila ada pemimpin Melayu seperti Nurul Izzah, yang tidak dapat melihat peranannya sebenar, kerana kenyataannya boleh disalah erti dan diambil kesempatan oleh pihak yang selama ini menunjukkan rasa tidak senang dengan Perlembagaan Persekutuan, Perkara 3(1) yang meletakkan agama Islam sebagai agama rasmi dan takrifan bangsa Melayu berasaskan agama Islam yang ditegaskan dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 160(2).
Nurul Izzah sebagai pemimpin Melayu, beragama Islam sepatutnya berusaha memperkukuhkan lagi kedudukan Islam dan umatnya di Malaysia dan bukan sebaliknya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan