NURUL Izzah Anwar, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat, yang juga
Ahli Parlimen Lembah Pantai, ketika menjawab soalan di Forum Negara
Islam di Subang Jaya pada 4 November 2012, telah menyatakan bahawa
"…Apabila anda bertanya saya, tiada paksaan dalam beragama… mengapa
sesetengah pihak rasa bersalah, perkara ini (kebebasan beragama) hanya
terpakai kepada orang bukan Melayu, sepatutnya digunapakai secara sama
rata." Beliau menegaskan lagi, "apa yang perlu dicari adalah kualiti
yang mana iman umat Islam adalah kuat."
Daripada kenyataan ini, dapat dilihat betapa tidak matang dan kurang bijaknya (lacks wisdom) anak muda ini. Masih banyak yang perlu dipelajarinya. Memang benar, Islam tidak memaksa. Aspek free will
dan kebebasan (Al-Quran surah al-Baqarah, ayat 256) dalam Islam memang
jelas; tetapi Islam juga menerangkan tentang kelemahan manusia (Al-Quran
surah al-Maidah ayat 28), yang sentiasa memerlukan perlindungan.
Bagi seorang individu Islam, memang menjadi tanggung jawab individu
tersebut untuk mencapai tahap iman dan ihsan supaya tiada apa yang akan
menggugat keimanannya. Itu tanggung jawab sebagai seorang individu.
Tetapi Nur Izzah tidak sedar, selain daripada dirinya sebagai individu,
beliau juga ialah seorang Ahli Parlimen (wakil rakyat beragama Islam dan
sebagai seorang umat Islam, kita semua bertanggungjawab sebagai
khalifah, lebih-lebih lagi apabila seseorang itu merupakan salah seorang
pemimpin dalam sesebuah negara).
Jadi, beliau bukan sahaja mempunyai tanggungjawab bagi mempertahankan
Islam untuk dirinya sendiri (Alhamdullillah, jika kuat imannya), tetapi
di samping perlu menjaga dirinya, beliau mempunyai tanggungjawab yang
lebih besar sebagai seorang pemimpin untuk melindungi lebih daripada 16
juta umat Islam lain dalam negara ini dengan apa cara juga yang terbaik.
Inilah sebenarnya yang telah difikirkan oleh para pemimpin negara
yang terdahulu sejak merdeka lagi, yang bertanggungjawab untuk
melindungi agama Islam dan umatnya di bawah Perlembagaan Persekutuan,
Perkara 160 (2) yang mana, ditakrifkan seorang Melayu sebagai seorang
yang beragama Islam, bertutur bahasa Melayu dan mengamalkan adat
istiadat Melayu. Ini perlu dipertahankan dengan jiwa dan raga orang
Melayu, kerana sejarah juga telah membuktikan hakikat ini seperti dalam
kes Natrah yang telah meyebabkan Rusuhan Natrah di Singapura pada tahun
1950. Rusuhan ini terjadi disebabkan timbulnya sentimen agama yang perlu
dipertahankan oleh orang Melayu.
Betapa ruginya umat Islam apabila ada pemimpin Melayu seperti Nurul
Izzah, yang tidak dapat melihat peranannya sebenar, kerana kenyataannya
boleh disalah erti dan diambil kesempatan oleh pihak yang selama ini
menunjukkan rasa tidak senang dengan Perlembagaan Persekutuan, Perkara
3(1) yang meletakkan agama Islam sebagai agama rasmi dan takrifan bangsa
Melayu berasaskan agama Islam yang ditegaskan dalam Perlembagaan
Persekutuan Perkara 160(2).
Nurul Izzah sebagai pemimpin Melayu, beragama Islam sepatutnya
berusaha memperkukuhkan lagi kedudukan Islam dan umatnya di Malaysia dan
bukan sebaliknya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan