Pages

22 Januari 2013

Ahli dakwa CEC dimanipulasi pemimpin tertinggi

SEREMBAN 20 Jan. - Pemimpin tertentu dalam DAP didakwa telah memanipulasi keputusan pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) DAP baru-baru ini sehingga menyebabkan berlaku kesilapan dalam pengundian.
Naib Pengerusi DAP Cawangan Ladang Paroi, David Dass mendakwa, pemilihan yang dijalankan secara tidak adil dan telus itu jelas dimanipulasi oleh barisan pemimpin tertinggi parti berkenaan kerana bimbang kehilangan kuasa.
"Kami amat kecewa dengan perkara yang berlaku, ini adalah suara akar umbi. Jika pemimpin tertinggi tidak mampu memberikan ketelusan dan keadilan dalam parti, bagaimana mereka mahu berlaku adil kepada rakyat dan masyarakat negara ini.
"Oleh itu kami sebagai ahli mendesak agar satu pemilihan yang lebih telus dapat dijalankan semula. Mereka perlu ingat tanpa ahli, mereka tidak akan ke mana," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Yang turut hadir Setiausaha DAP Cawangan Ladang Paroi, K. Mahendran.
Jelas Dass, beliau telah membuat laporan kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) Isnin lalu supaya siasatan terperinci dibuat berhubung keputusan pemilihan tersebut.
"Saya juga berharap lebih ramai ahli yang tampil membuat laporan bagi membantah keputusan pemilihan yang tidak adil ini.
"Jangan sibuk bercakap tentang perhimpunan Bersih atau memperjuangkan ketelusan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 sedangkan tiada ketelusan dalam pemilihan parti sendiri," tegasnya.
Beliau juga kesal dengan pendirian Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang tidak mengendahkan rasa kecewa ahli parti berhubung perkara tersebut.
"Jangan fikir kami kumpulan minoriti tidak mampu memberi respons, mungkin hari ini jumlahnya dua, tetapi saya percaya akan menjadi 20 seterusnya 200, kemudian 2,000 dan boleh menjadi 200,000 orang yang tidak akan berpuas hati," ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan