Pages

22 Januari 2013

Gesaan Karpal wajar buka mata Pas

KUALA LUMPUR 20 Jan. - Para pemimpin, ahli dan penyokong Pas perlu sedar tentang sikap sebenar DAP ekoran gesaan Pengerusinya, Karpal Singh supaya Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengkaji semula pendirian Majlis Syura Ulama parti itu berhubung dengan kalimah suci Allah.
Presiden Pertubuhan Jalur Tiga (Jati), Datuk Dr. Hasan Ali berpendapat, Abdul Hadi tiada pilihan lain kecuali terus mempertahankan pendirian majlis syura walaupun terdapat desakan supaya pendirian itu diubah.
Menurut beliau lagi, dalam keadaan Abdul Hadi yang tidak banyak pilihan sama ada terus mempertahankan keputusan ulama atau akur dengan kehendak Karpal, Presiden Pas itu wajar menunjukkan ketegasannya.
"Seperti mana ketegasan serta istiqamahnya para ulama di dalam parti itu yang selama ini tidak pernah berganjak dengan pendirian bahawa kalimah Allah tidak boleh diguna oleh mereka yang bukan beragama Islam.
"Mereka (para ulama dalam Pas) mengambil sikap ini berdasarkan metodologi syariah. Mereka tidak berganjak untuk mempertahankan bahawa kalimah Allah tidak boleh diguna pakai dalam kalangan mereka yang bukan Islam," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan terbaharu Karpal yang mahu Abdul Hadi mengkaji semula keputusan majlis syura parti itu yang berpendirian kalimah Allah hanya boleh digunakan oleh umat Islam.
Kata Karpal, perkara itu bertujuan untuk memastikan pendirian Pas selaras dengan keputusan yang telah dicapai pakatan pembangkang pada 8 Januari lalu.
Menyentuh isu sama Hasan berkata, kenyataan terbaharu Karpal tersebut jelas menunjukkan sikap biadabnya dalam isu kalimah Allah.
Jelas beliau, selain kebiadaban yang cukup terserlah, kenyataan Karpal itu juga boleh ditafsirkan seperti berikut:
"Pertama, DAP ingin menjadi juara dalam isu kalimah Allah memandangkan pimpinan yang lain termasuk di pihak Parti Keadilan Rakyat (PKR) belum membuat kenyataan, jika ada kenyataan sekalipun nadanya tidak sekeras seperti mana dikehendaki DAP.
"Kedua, ternyata Karpal yang mewakili DAP merasakan pucuk pimpinan Pas boleh dilentur memandangkan sebelum ini terjahan-terjahan Karpal dalam beberapa isu menyebabkan Pas terpaksa mengangkat bendera putih.
"Ketiga, DAP ingin menjadi peneraju pakatan pembangkang dalam beberapa isu termasuk yang berkaitan dengan kedudukan Islam dan Melayu dan keempat, kejahilan Karpal terhadap struktur membuat keputusan yang telah dipraktikkan oleh Pas," ujarnya.
Beliau yang juga bekas Naib Presiden Pas berkata, dalam parti itu, dasar-dasar parti ditentukan oleh Majlis Syura Ulama Pas sementara pelaksanaan dasar dan urusan harian diserahkan kepada Presiden dan Jawatankuasa Pusat.
"Kejahilan sedemikian sepatutnya tidak berlaku kerana kerjasama di antara DAP dan Pas telah diteroka sebelum pilihan raya umum 2008," katanya lagi.
Dalam perkembangan berkaitan, Hasan berkata, tidak salah sekiranya beliau membuat ramalan bahawa sudah terdapat beberapa tanda keretakan di dalam pakatan pembangkang.
"Semakin hari keretakan itu bertambah membesar dan berkemungkinan struktur pakatan pembangkang itu sendiri akan roboh dan tumbang ke bumi akibat daripada struktur utama yang semakin lemah itu," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan