Muhyiddin Yassin (tengah) melambaikan
tangan kepada para hadirin dalam Persidangan Perwakilan PBRS Ke-15 di
Dewan Masyarakat Keningau, Sabah, semalam. - MINGGUAN/AZRUL EDHAM MOHD.
AMINUDDIN
*****
Menurut Timbalan Perdana Menteri, BN telah bangkit daripada lena dan zon selesa selepas mendapat isyarat rakyat daripada tsunami politik 2008 dengan melakukan transformasi ke arah lebih baik dalam parti, kerajaan dan kebajikan rakyat.
Menurutnya, keyakinan itu bukan berasaskan kepada perasaan 'syok sendiri' tetapi dibuktikan melalui analisis banyak pihak berkecuali termasuk dari dalam dan luar negara bahawa BN pada hari ini lebih kukuh dan baik berbanding sebelum pilihan raya lalu.
"UMNO telah meminda perlembagaan menjadi lebih inklusif, terbuka, malah parti-parti komponen lain juga telah memantapkan kekuatan bagi memastikan tiadanya isu-isu dalaman.
"Dalam lapan pilihan raya kecil yang lalu, terbukti rakyat di mana sahaja telah memberikan sokongan kepada BN dan umumnya penerimaan mereka kepada dasar-dasar kerajaan semakin meningkat," katanya.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) kali ke-15 di sini hari ini.
Yang turut hadir Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman; Presiden PBRS, Tan Sri Joseph Kurup dan pimpinan parti-parti komponen lain.
Tambah Muhyiddin, kerajaan melalui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah melaksanakan transformasi yang lebih memfokuskan kepada inisiatif membela rakyat melalui gagasan 1Malaysia yang diterjemahkan dalam dasar-dasar yang menyentuh denyut nadi setiap kelompok masyarakat.
"Pada masa ini negara mencatat pencapaian luar biasa dalam ekonomi sama ada domestik atau pelaburan luar negara seperti hasil pendapatan semakin bertambah, pungutan cukai meningkat, ekonomi juga berkembang lebih lima peratus dan ini diakui oleh Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia.
"Ini adalah antara perkara asas yang jelas membuktikan bahawa kedudukan BN semakin kukuh dan rakyat menerima baik segala dasar-dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan.
"Di mana sahaja kita turun, kita mendapat respons amat positif daripada pelbagai latar belakang dan bagi saya suasana ini amat baik," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan