HALAMAN almanak 2012 tinggal dua hari lagi akan berakhir. Banyak yang berlaku sepanjang 365 hari silam yang tidak sedikit membuatkan kita menghela nafas panjang dan melaluinya dengan kerisauan bahkan was-was.
Salah satu yang merisaukan itu ialah huru-hara dalam peristiwa hitam 28 April. Pada hari itu, seolah-olah tiada lagi damai di ibu negara nan permai ini. Perhimpunan haram Bersih 3.0 telah menyebabkan galau bukan sahaja di Kuala Lumpur tetapi tempat seperti Mekah dan Madinah.
Kuala Lumpur pada hari itu menyaksikan keganasan yang tiada belas kasihan, seumpama Gelombang Arab akan menenggelamkan Malaysia ke kancah anarki. Pada hari itu ada yang merancang mahu menawan Dataran Merdeka, sebagaimana penunjuk perasaan menawan Dataran Tahrir sebelum menggulingkan kerajaan Mesir.
Walaupun himpunan itu dianjurkan oleh sebuah gabungan NGO yang menjanjikan demonstrasi aman, tetapi yang mendominasi ialah pemimpin pakatan pembangkang. Yang paling menonjol ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim yang selalu menobatkan dirinya sebagai bakal Perdana Menteri.
Sebuah rakaman video seolah-olah menggambarkan Anwar memberi arahan agar penghadang Dataran Merdeka yang diharamkan untuk dimasuki oleh penunjuk perasaan dibuka. Umpama pintu air, tindakan itu dikatakan telah memaksa pasukan keselamatan menyembur gas pemedih mata dan menggunakan kekerasan.
Berlakulah huru-hara. Anggota polis dan wartawan dibelasah. Kenderaan polis diterbalikkan dan harta awam dirosakkan. Banyak yang cedera termasuk para demonstran. Kuala Lumpur lumpuh.
Mujurlah peristiwa hitam 28 April dapat dikawal. Jika tidak mungkin sahaja Malaysia akan mengikut jejak Mesir yang sehingga sekarang terus bergolak. Kerajaan yang dibentuk atas emosi demokrasi jalanan tidak mampu bertahan lama. Tidak belajarkah lagi mereka, sehingga mahu mengadun satu lagi rancangan himpunan pada 12 Januari ini semata-mata mahu memenuhi syahwat politik?
Peristiwa yang tidak dilupakan kerana diwarnai dengan gegak-gempita di seluruh alam semesta adalah kes liwat Anwar ke atas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan. Tanggal 9 Januari menjadi huha luar biasa setelah tiga tahun perbicaraan yang dipenuhi dengan adegan penangguhan demi penangguhan.
Kes liwat kali kedua yang dihadapi Anwar ini seperti yang terdahulu juga dijadikan senjata untuk menghentam kerajaan malah beliau dan gerombolannya berarak ke merata-rata tempat sehingga ke luar negara.
Entah kerana nafsu apa atau sedang kerasukan, beliau melancarkan gerakan mengheret rakyat dan dunia antarabangsa bagi menunjukkan dirinya tidak bersalah dan mangsa satu lagi konspirasi kerajaan. Tidak sedikit pun beliau merasakan moralnya tergugat walaupun dengan pendedahan rakaman video seks pada tahun lalu yang disahkan tulen oleh pakar Amerika Syarikat.
Tetapi tanggal 9 Januari itu berlaku sebaliknya. Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah membebas dan melepaskan Anwar. Alasannya, tiada bukti kukuh bagi menyokong keterangan Saiful.
Penghakiman
Dalam penghakiman penuh Hakim Mohamad Zabidin menyatakan disebabkan tiada bukti sokongan, adalah tidak selamat untuk mahkamah mensabitkan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu dengan tuduhan liwat memandangkan integriti sampel yang diambil telah tergugat sebelum dihantar untuk analisis kimia.
Tahun ini juga akan diingati sebagai tahun kontroversi bagi Kerajaan Pas Kedah. Sejak hari pertama mengangkat sumpah Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Razak cuba digugat dari dalam. Krisis kepimpinan sampai kemuncaknya apabila Pas Pusat campur tangan dalam pemilihan Exco baharu pada Februari lalu.
Isu demi isu yang dicetuskan oleh kelompok dalam pakatan pembangkang sendiri menjadikan Azizan seorang Menteri Besar yang lemah. Pentadbiran beliau yang sering tidak sejalan dengan haluan pimpinan pakatan pembangkang menyebabkan banyak masalah timbul selain kerajaan negeri gagal melakukan perubahan dan pembaharuan.
Pentadbiran beliau malah menyongsang janji-janji ketelusan, keadilan dan kesaksamaan yang mereka sendiri ikrarkan. Sehingga sekarang krisis kewangan Kolej Universiti Insaniah (Kuin) masih tergantung begitu sahaja. Dan, tanpa dapat dihalang, kerajaan negeri menampakkan kerakusan membabat balak di Gunung Inas, Baling dan Tasik Pedu.
Begitu juga dengan Kerajaan PKR Selangor. Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim lebih suka dengan jalan yang dipllihnya sendiri. Orang kata beliau hanya boneka DAP. Kelam-kabut dapat dirasakan di negeri kaya ini daripada soal remeh-temeh tentang sampah sarap dan rumput-rampai sehinggalah hubungan dengan istana.
Tindakan Khalid selalu sahaja menuai kontroversi. Isu bekalan air semakin kritikal. Beliau tetap berdegil dengan keputusan enggan membenarkan Langat 2, satu-satunya projek yang boleh menyelamatkan Lembah Klang daripada ditimpa krisis air pada 2014.
Di bawah pentadbiran ala kuku besi beliau, banyak perubahan yang cuba dibuat mendapat tentangan rakyat. Sebut sahaja pembayaran hutang Talam, penjualan aset PKNS, penstukturan aset Yayasan Selangor dan campur tangan politik di Unisel.
Sentuhan Khalid kurang menjadi, tidak seperti gembar-gembur kehebatan beliau sebagai tokoh korporat. Sehingga kini rakyat Selangor masih bertanyakan mana rumah kos rendah dan mana janji-janji yang diikrarkan dahulu.
Bukan asing lagi cerita dalam parti dan kerajaan negeri tentang cubaan untuk menyingkirkan Khalid daripada kerusi Menteri Besar. Banyak masalah berkaitan agama Islam dan kegiatan maksiat gagal ditangani dengan saksama sehingga membawa kepada pemecatan Datuk Dr. Hasan Ali sebagai anggota Exco.
Sebagaimana rakannya di Kedah, nasib Khalid sama. Beliau bukan calon pilihan untuk kerusi Menteri Besar. Dengan kata lain, mereka bukanlah pentadbir yang baik.
Berbanding di Pulau Pinang, Lim Guan Eng licik dan asyik bemain politik. Sepanjang tahun ini Guan Eng ialah individu yang banyak mencetuskan kontroversi dan polemik picisan yang tidak menguntungkan rakyat terbanyak.
Dalam setiap langkah Ketua Menteri yang dilabel sombong dan arogan ini, ada sahaja pihak yang merasa dirugikan. Mungkin sudah begitu stail kepimpinannya. Yang nyata isu rumah mampu milik dan kesesakan lalu lintas masih terbiar begitu sahaja.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan