Pages

13 Januari 2013

CEC: Guan Eng cabar ahli buat bantahan rasmi

PULAU PINANG 10 Jan. - Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mencabar mana-mana ahli yang tidak berpuas hati dengan pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu supaya membuat bantahan secara rasmi.
Beliau agak hairan kenapa rasa tidak puas hati ahli-ahli itu hanya dilaporkan dalam media massa sedangkan majlis tertinggi tidak menerima sebarang bantahan daripada mana-mana cawangan atau anggota parti.
"Mengapa harus guna media? Tidak sepatutnya perkara ini dibincang secara terbuka dengan mengambil pendirian parti lawan.
"Jika tidak berpuas hati, tulis surat dan kita boleh berbincang dan menyelesaikan masalah ini mengikut saluran dalaman parti," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat tapak Kompleks Mahkamah Syariah Pulau Pinang, di sini hari ini.
Sebelum ini, DAP secara terbuka mengakui berlaku kesilapan pengiraan undi dalam pemilihan parti itu yang diadakan bulan lalu.
Setiausaha Politik kepada Guan Eng yang juga Ketua Menteri, Zairil Abdullah pada mulanya hanya mendapat 305 undi diumumkan memperoleh 803 undi selepas pengiraan semula dilakukan, sekali gus meletakkannya di kedudukan ke-20 dalam CEC.
Guan Eng dalam pada itu menegaskan, majlis tertinggi parti sejak dari awal telah membuat keputusan muktamad terhadap isu berkenaan.
"Namun kalau ada bantahan rasmi daripada mana-mana cabang parti, perkara ini boleh dibincang dan dipertimbangkan semula.
"Keputusan yang dibuat adalah betul dan tiada unsur penipuan kerana telah diaudit bukan sahaja oleh audit dalaman parti tetapi juga syarikat bebas yang dilantik," ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan