Pages

13 Januari 2013

PRU-13: Berapa ramai calon Melayu DAP?

PULAU PINANG 10 Jan. - Kongres Melayu Pulau Pinang (KMPP) yang mempunyai hubungan rapat dengan DAP hari ini tampil mencabar parti itu supaya mengemukakan bilangan calon Melayu yang akan bertanding atas tiket DAP dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan datang.
Presidennya, Rahmad Isahak berkata, melalui cara itu, ketelusan DAP yang sering melaungkan slogan demokrasi dalam parti akan dapat dibuktikan dan tidak sekadar slogan kosong semata-mata.
"KMPP tidak mahu DAP bersikap hanya manis di bibir tapi hati lain bicara.
"KMPP dengan lantang mendesak Setiausaha Agung DAP, Lim Guan supaya meletakkan sekurang-kurangnya tiga calon Melayu untuk bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala seorang lagi bertanding di Parlimen," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Menurutnya, permintaan itu adalah munasabah berdasarkan peratusan pengundi Melayu berdaftar sebanyak 286,646 orang atau 34 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi di negeri ini seramai 833,159 orang.
Mengulas lanjut, Rahmad berkata, walaupun terdapat desas-desus mengatakan DAP akan meletakkan calon Melayu, namun perkara itu bukan jaminan bahawa kepentingan kaum itu di Pulau Pinang dapat dijaga selagi tidak ada calon Melayu berjawatan berkhidmat dalam kerajaan negeri.
"Walaupun terdapat wakil Melayu dalam Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) DAP serta kemasukan Zairil Abdullah ke dalamnya secara penuh kontroversi, ia bukan jaminan kukuh untuk orang Melayu terjamin nasib mereka," katanya.
"Apatah lagi kami berpendapat, pemimpin Melayu dalam CEC sudah tidak penting lagi," katanya.
Rahmad pada masa juga mendakwa, walaupun terdapat dua wakil rakyat Melayu daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) ketika ini iaitu Datuk Mansor Othman dan Datuk Abdul Malik Kassim dalam pentadbiran kerajaan Pulau Pinang, kedua-dua mereka seperti tidak berfungsi apabila sekadar menjadi pemimpin yang dikategorikan sebagai yes bos.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan