Pages

7 Januari 2013

Karier mulia

SETELAH gagal memberikan penjelasan kepada isu Amanat Hadi yang membawa pecah-belah dalam kalangan umat Islam, Presiden Pas, Hadi Awang menghina pula profesion perguruan.
Ramai tersentak dengan kenyataan itu. Beliau memperlekehkan kewibawaan aktivis Pas, Zainon Ismail atau CN Al-Afghani hanya kerana penulis itu seorang guru sekolah rendah yang hanya mengajar A,B,C.
Walaupun kurang senang dengan kritikan Zainon terhadap beliau menerusi buku Kafirkah Aku?, itu bukan cara seorang pemimpin memberikan reaksi.
Hadi tidak wajar memperlekehkan profesion perguruan. Awang boleh faham mengapa banyak tokoh perguruan bangkit menyanggah beliau.
Sesungguhnya ramai guru serta bekas guru tersinggung dengan kenyataan Hadi.
Jumlah guru termasuk sekolah rendah bukan sedikit dengan murid-murid yang tak terkira ramainya.
Setahu Awang, Zainon mengajar di Sekolah Menengah Felda Lubok Merbau, Kedah dan bukannya di sekolah rendah. Apa pun, sama ada sekolah rendah mahupun menengah, guru adalah karier mulia.
Menerusi asas pendidikan, kita semua bermula dengan mengenal huruf dan angka. Hadi dan anak-anaknya juga belajar A,B,C melalui guru di tadika dan sekolah rendah.
Awang tidak faham bagaimana seorang pemimpin sebuah parti yang berlabel Islam boleh menghina karier orang lain. Sebagai insan, lebih-lebih lagi orang Islam, kita tidak boleh menghina orang lain walau pelacur sekalipun. Apatah lagi, guru.
Perbuatan Hadi telah memberikan isyarat yang salah kepada generasi pelajar yang menuntut ilmu melalui guru di sekolah.
Pada Awang, menghina karier guru tak ubah seperti memandang rendah masyarakat akar umbi, yang sebahagiannya diketahui adalah ahli dan penyokong Pas.
Hadi mungkin terlupa kemuliaan seseorang bukan bergantung kepada kedudukan dan taraf akademik. Apa guna pengajian setinggi langit kalau membawa mudarat besar kepada agama dan masyarakat sebagaimana yang Hadi lakukan melalui amanatnya.
Ketika Hadi tampil dengan cara yang riak, Zainon pula bersikap merendah diri. Dalam reaksinya kepada penghinaan Hadi. ‘‘Biarlah saya guru sekolah. Saya bangga menjadi guru sekolah. ‘’ Dalam masyarakat demokrasi, guru sekolah juga layak membetulkan keadaan dan kepincangan, yang Hadi buat-buat tak sedar akan hakikat itu.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20130106/re_03/Karier-mulia#ixzz2HG4XhJkY
© Utusan Melayu (M) Bhd | hwa, 7/1/13

Tiada ulasan:

Catat Ulasan