Pages

7 Januari 2013

Kerajaan PKR utamakan politik lebih daripada rakyat

TRADISINYA setiap kali ada pergantian tahun, akan ada peluang untuk merebut momentum menuju ke jalan keharmonian. Malangnya hal itu tidak berlaku malah ada yang lebih suka mencari keriuhan dan pergaduhan untuk mendapatkan manfaat politik.
Ada sahaja yang mahu mengganggu kehormanian hidup kita. Tetapi janganlah bersungut kerana nampaknya hari-hari ke depan wajah Malaysia akan terus dikotori dengan ulah mereka yang lebih suka berpolitik daripada menyelesaikan masalah rakyat.
Inilah yang berlaku di Selangor ketika kita belum pun seminggu memasuki tahun baharu. Masalah air yang menjadi keperluan asas penduduk dijadikan alat ugutan agar permintaan mereka dipenuhi.
Masalah Rumah Pam Wangsa Maju yang menjejaskan kehidupan kira-kira 500,000 penduduk di sekitar Gombak dan Kuala Lumpur mahu dijadikan alasan agar tuntutan konsesi pengagihan bekalan air yang diurus oleh Syabas diserahkan kepada Kerajaan Negeri PKR Selangor.
Memang malang kerana sepatutnya kerajaan negeri segera bertindak mengatasi masalah itu dengan bekerjasama dengan mana-mana juga pihak, bukan menuding jari kepada Syabas. Tetapi mungkin sudah begitu pemikiran Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Salahkan Syabas, terlepaslah tanggungjawab kerajaan negeri sekali gus boleh menjadi peluru politik menyerang Kerajaan Pusat.
Bayangkan senario yang sama jika berlaku gangguan bekalan elektrik. Kerajaan Persekutuan akan menuding jari kepada TNB, kemudiannya menuntut urusan bekalan elektrik dikembalikan kepada kerajaan dan bukannya mencari jalan mengatasi masalah yang berlaku.
Sedangkan Abdul Khalid selalu membanggakan diri dengan komitmen pakatan pembangkang khususnya Kerajaan PKR Selangor menjaga kebajikan rakyat serta mengamalkan tadbir urus beramanah. Realitinya, apa yang dirasai ialah mereka tidak peduli dengan keluhan dan nasib rakyat malah menggunakan rakyat untuk kepentingan kuasa.
Jika rakyat yang diutamakan tidaklah Exco Dr. Xavier Jayakumar dalam nada marah-marah, dukacita dengan tindakan Syabas yang meminta bantuan daripada syarikat bekalan air dari luar bagi tujuan bekalan air ke kawasan terjejas.
Dr. Xavier dilaporkan tidak berpuas hati kerana Syabas tidak meminta bantuan kerajaan negeri tetapi mendapatkan bantuan daripada Lembaga Air Perak, Syarikat Air Melaka Berhad, Syarikat Air Johor dan Syarikat Air Negeri Sembilan. Mungkin atas sebab itu, tidak bolehlah kerajaan negeri tumpang semangkuk dapat nama berusaha mengatasi masalah rakyat.
Jika benar mereka bersungguh-sungguh mahu mengatasi masalah air, tentu sekali kerajaan negeri akan menyegerakan projek mitigasi yang khabarnya sudahpun diluluskan oleh Kerajaan Pusat. Projek itu termasuk menambah pam di Wangsa Maju bagi memenuhi permintaan yang tidak lagi dapat ditampung oleh pam sedia ada. Jika tidak pun, kerajaan negeri seharusnya akur dengan cadangan Projek Langat 2 yang dipersetujui oleh ramai pakar demi kemaslahatan rakyat.
Tadbirurus
Tetapi apakah yang dilakukan kerajaan negeri? Kekalkan masalah air ini supaya Syabas dan Kerajaan Pusat dapat terus dipersalahkan. Inilah agaknya tadbir urus beramanah yang selalu dinyatakan dengan bangga oleh Abdul Khalid.
Akhirnya rakyat juga yang jadi mangsa. Mangsa keangkuhan Menteri Besarnya sendiri. Tentu Menteri Besar tidak merasai betapa rumitnya hidup tanpa air. Bayangkan hidup di negeri maju tapi berhari-hari tak mandi, mengangkut air dengan baldi malah perniagaan terpaksa ditutup.
Abdul Khalid seperti mahu mencabar rakyatnya sendiri. Tetapi apa hendak dihairankan, ini bukan pertama kali Menteri Besar menunjukkan keangkuhannya kepada rakyat. Tuntutan lebih 3,000 ibu tunggal supaya dibayar tunggakan elaun RM100 seperti dijanjikan dalam manifesto pilihan raya pakatan pembangkang dilempar begitu sahaja.
Siapa pun tidak menduga Menteri Besar sanggup pula meminta ibu tunggal membuktikan terlebih dahulu mereka mengundi calon PKR, Pas dan DAP dalam pilihan raya umum lalu sebelum memenuhi tuntutan tersebut. Alasan yang tak munasabah dan tak masuk dek akal sihat.
Begitu juga apabila Abdul Khalid dengan mudah menyifatkan manifesto bukan sebuah janji bagi menolak tuntutan air percuma kepada pengguna bil berkelompok. Apakah yang boleh dirumuskan kepada seorang Menteri Besar yang suka memperlekeh rakyatnya sendiri?
Dengan kata lain, Abdul Khalid yang selalu menjaja slogan Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES), hanya berkata dusta. Jika janji yang disaksikan oleh rakyat sanggup diputarbelitkan, apakah kita boleh mempercayai kata-kata politikus seperti ini?
Mungkin sahaja beliau boleh berbangga dengan rizab tunai yang katanya meningkat lebih tiga kali ganda kepada RM2.5 bilion sekarang ini. Tetapi apakah rakyat negeri Selangor sekarang berasa selesa? Mengikut kajian, lima rungutan utama rakyat Selangor ialah cukai tinggi, masalah bekalan air, banjir, infrastruktur dan keselamatan.
Apakah kerajaan negeri telah membelanjakan wang rakyat dengan betul? Benar, kerajaan negeri boleh berbangga tetapi 'kejayaan' itu dicurigai tidak lebih hanya satu pencitraan. Pencitraan kononnya kerajaan negeri telus dan tidak rasuah, sebab itu dapat kumpul rizab tunai sebanyak itu.
Realitinya rakyat Selangor mahukan keselesaan. Jalan yang tidak berlubang-lubang, taman dan taman perumahan yang tidak compang-camping kerana rumput lambat dipotong dan sampah tidak diangkut ikut waktunya. Yang rakyat harapkan ialah kemudahan asas termasuk air sentiasa ada dan mencukupi.
Lebih penting kepada rakyat ialah peluang pekerjaan makin bertambah selain ruang pelaburan dan peniagaan yang bercambah. Itu yang mereka nikmati dahulu, yang mereka rasai selama bertahun-tahun sebelum ini.
Tetapi rupa-rupanya Kerajaan PKR Selangor lebih pentingkan citra daripada rakyat, lebih mementingkan politik daripada menyelesaikan masalah. Malanglah kepada mereka yang percaya, ku sangka panas sampai ke petang rupanya hujan di tengah hari.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20130106/re_08/Kerajaan-PKR-utamakan-politik-lebih-daripada-rakyat#ixzz2HG50ZBoG
© Utusan Melayu (M) Bhd | hwa, 7/1/13

Tiada ulasan:

Catat Ulasan