Pages

13 Januari 2013

Zainon akan dedah bukti penyelewengan Tabung Memali

KUALA LUMPUR 9 Jan. - Penulis buku Air Mata Di Bumi Memali, Zainon Ismail akan menyahut cabaran Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar agar beliau membuat laporan polis berhubung dakwaan penyelewengan Tabung Memali.
Zainon yang juga bekas aktivis tegar dan ahli seumur hidup Pas berkata, beliau bukan sahaja akan membuat laporan polis dalam masa terdekat, malah bakal menyerahkan beberapa dokumen penting bagi membantu siasatan pihak berkuasa.
Pada masa sama, beliau mencabar Salahuddin dan Mahfuz agar membuat laporan polis ke atasnya jika Pas merasakan segala pendedahan mengenai penyelewengan Tabung Memali menerusi buku Air Mata Di Bumi Memali adalah fitnah.
"Saya sahut cabaran Salahuddin dan Mahfuz. Laporan polis akan dibuat dalam masa terdekat dan saya tidak berseorangan. Pihak bersimpati dengan nasib anak-anak yatim serta balu tragedi Memali akan bersama saya demi kebenaran.
"Sekarang saya sedang meneliti beberapa bahagian penyelewengan sebelum laporan polis dibuat. Saya akan kemukakan beberapa bukti bagi membantu siasatan polis," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Isnin lalu, Salahuddin dan Mahfuz mahu Zainon atau lebih dikenali sebagai C. N. Al-Afghani membuat laporan polis jika benar berlaku penyelewengan terhadap Tabung Memali selepas beliau mendesak pucuk pimpinan Pas menyiasat perkara itu.
Zainon yang merupakan salah seorang daripada tiga individu bertanggungjawab menguruskan Tabung Memali mendakwa berlaku penyelewengan ke atas tabung bernilai jutaan ringgit itu apabila hak anak-anak yatim, balu dan mangsa Memali 'diratah' pihak lain.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan