Muhyiddin Yassin memalu gong sambil
diperhatikan oleh Mohamad Hasan serta para pemimpin parti komponen
Barisan Nasional ketika merasmikan Majlis Perhimpunan Rakyat 1Malaysia
Gelombang Biru di Padang Kompleks Belia dan Sukan di Paroi, malam
semalam. Turut sama Mohamad Hasan. - UTUSAN/Abd Razak Aid
*****
Bukan itu sahaja, kelibat gelombang biru itu kini sudah menjalar di seluruh pelosok negeri ini, tidak kira di desa mahupun bandar, perairan mahupun di daratan, pedalaman orang Asli mahupun ke kampung baru, mereka ada di mana-mana.
Mesejnya jelas, memastikan kemenangan lebih besar kepada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang dan menebus kekalahan pada kerusi yang tewas ketika tsunami politik 2008 lalu.
Maka, tiada lagi gerakan perlahan kerana semboyan perang sudah pun ditiupkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika melancarkan Gelombang Biru peringkat negeri di Kompleks Belia dan Sukan Paroi, kelmarin.
Puluhan ribu yang hadir mendengar mesej pemimpin negara itu dengan nada yang jelas menegaskan: "Kita pastikan BN kembali memerintah negara ini dengan majoriti besar. Kita yakin di Negeri Sembilan ini, BN akan juga mencipta kemenangan besar. Kerusi yang tewas akan kita rampas."
Jelas apa yang ditegaskan oleh Muhyiddin itu satu petanda pilihan raya umum cuma tinggal beberapa minggu sahaja lagi dan bukan masa untuk duduk bersenang-lenang tetapi sebaliknya mesti memperkemaskan barisan, menghindarkan perbalahan dan memfokuskan kepada pengundi.
"Ini adalah gelombang rakyat yang bangkit untuk bersama-sama BN mempertahankan sebuah kerajaan yang telah dibina sekian lama dengan semangat perpaduan tinggi, kemakmuran dan membawa pembaharuan ke tahap maksimum.
"Itulah kerajaan BN. Inilah satu-satunya kerajaan yang dapat memenuhi kehendak rakyat. Inilah kerajaan yang banyak membuat pembaharuan.
"Mengapa pula rakyat perlu tukar kerajaan? Sokonglah BN, kita akan terus membahagiakan rakyat dan membawa negara ini ke arah kemajuan," katanya di Paroi kelmarin.
Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata, pembangkang akan terus memperhebatkan usaha mempengaruhi rakyat dan inilah waktunya 'tentera' Gelombang Biru bangkit membanteras dakyah palsu dan menjelaskan dasar kerajaan dengan memberi contoh dan bukti nyata seperti janji yang telah BN tepati.
Sementara itu, Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, tentera Gelombang Biru sudah bergerak dan bertambah aktif kelmarin, apabila dilancarkan oleh Muhyiddin.
Katanya, beliau yakin BN negeri akan menang dua pertiga pada pilihan raya umum kelak dan kerusi tewas khususnya di Sikamat, Ampangan dan Paroi akan dirampas kembali malah kedudukan BN semakin kukuh apabila sokongan sudah meningkat lebih 60 peratus.
"Jangan lupa jasa BN dan cuba kita putarkan waktu ketika awal kemerdekaan, hidup susah dan negara miskin. Tidak seperti hari ini. Kita bangun sedikit demi sedikit memajukan negara dan negeri.
"Muda-mudi hari ini tidak pernah hidup susah, generasi hari ini tidak kenal erti kehidupan lalu, tetapi apa yang menyedihkan, mereka bercakap sama sendiri 'mari kita cuba tukar kerajaan'.
"Cubalah kenang jasa dan usaha kerajaan kepada rakyat, kita ditadbir oleh kerajaan BN sejak merdeka," katanya.
Mohamad yang juga Menteri Besar berkata, segala kekuatan yang ada pada BN akan digerakkan untuk meyakini rakyat bahawa inilah parti yang menjadi penyelamat dan pelindung kepada rakyat.
"BN tidak akan menggadaikan negeri dan negara yang telah kita bina sejak sekian lama. BN akan mempertahankan apa juga cara supaya tiada anasir yang boleh mengganggu-gugat keamanan dan kestabilannya.
"BN adalah parti yang patut diundi. Kepercayaan yang diberikan rakyat kepada BN akan dikenang melalui perubahan, kemajuan serta kemakmuran yang bakal dinikmati secara berterusan.
"BN mempunyai hala tuju dan pelan yang telah dirangka demi kesejahteraan negara dan rakyatnya, oleh itu jangan gadaikan masa depan dengan membuat pilihan yang salah," ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan