Pages

6 Februari 2013

Pilih parti mampu bentuk kerajaan kuat

Mohd. Shafie Apdal (dua kanan) beramah mesra dengan pekebun getah dalam Kempen Penggunaan Bahan Rangsangan Lateks Peringkat Nasional 2013 di Kampung Bukit Lada, Maran, Pahang, semalam. Turut serta, Wan Mohamad Zuki Wan Mohamed (kanan). Bahan Rangsangan Lateks adalah untuk menambah pengeluaran susu getah bagi meningkatkan pengeluaran getah pekebun kecil. - Bernama 
*****
MARAN 4 Feb. - Rakyat perlu memilih parti yang mampu membentuk kerajaan kuat dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 bagi memastikan ekonomi negara kekal kukuh dan menjana lebih banyak peluang pekerjaan kepada generasi akan datang.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, kerajaan kukuh dapat memastikan program pembangunan dilaksanakan sebaik mungkin seterusnya mengelak keadaan tidak menentu seperti di Selangor yang masih berdepan isu air sehingga Kerajaan Pusat terpaksa memberikan bantuan.
"Banyak petunjuk di seluruh dunia kenapa kita perlu kepada kerajaan yang kuat. Sebagai contoh, China mampu menjadi kuasa ekonomi dunia ketika ini kerana mempunyai kerajaan yang kuat.
"Kerajaan yang tidak kuat boleh dilihat di Eropah. Banyak dasar yang kerajaan mereka tidak boleh putuskan. Maka, kalau mahu melahirkan kerajaan dan ekonomi yang kuat, undinya harus kuat dan diberi kepada Barisan Nasional (BN)," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Kempen Penggunaan Bahan Rangsangan Lateks Peringkat Nasional 2013 oleh Pihak Berkuasa Kemajuan Perusahaan Pekebun Kecil getah (RISDA) di Bukit Lada, dekat sini hari ini.
Yang turut hadir Pengerusi RISDA, Tan Sri Dr. Rahim Tamby Chik; Ketua Pengarah RISDA, Datuk Wan Mohamad Zuki Wan Mohamad; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail dan Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail Mutalib.
Sementara itu, Mohd. Shafie yang juga Naib Presiden UMNO yakin sokongan majoriti masyarakat luar bandar tidak terjejas biarpun pembangkang semakin memperhebatkan usaha menarik sokongan kelompok tersebut.
Katanya, trend sokongan yang jelas memihak kepada BN dalam beberapa siri pilihan raya kecil termasuk Pilihan Raya Negeri Sarawak dijangka mampu diulangi dalam pilihan raya umum akan datang.
"Saya percaya masyarakat luar bandar dapat menilai pihak yang banyak membantu bagi meningkatkan kesejahteraan mereka dan bukannya mengikut mereka yang sesekali datang berceramah (pembangkang)," jelasnya.
Dalam pada itu Mohd. Shafie berkata, pembangkang bukanlah pilihan menjadi kerajaan kerana pakatan mereka masih tidak mampu menyelesaikan soal dasar perjuangan parti masing-masing.
Katanya, keadaan semasa dalam pakatan pembangkang bakal membawa kepada masa depan negara yang tidak menentu jika mereka menjadi pilihan rakyat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan