KUCHING 4 Feb. - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak perlu bersusah payah berulang-alik ke Sarawak kononnya untuk melakukan perubahan kerana boleh berbuat demikian di Permatang Pauh terlebih dahulu.
Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata, kawasan Parlimen tersebut yang diwakili Anwar sejak beliau bergelar pemimpin nombor dua negara sehingga kini bukan sahaja tidak banyak berubah malah semakin terabai.
Selain itu katanya, pelbagai janji manis pembangkang di negeri-negeri yang dikuasai mereka sejak Pilihan Raya Umum Ke-12 turut gagal ditepati walaupun penggal ini akan berakhir tidak lama lagi.
Pembangkang sebenarnya tidak ada komitmen terhadap apa yang mereka janjikan atau dengan kata lain, memang tak ikhlas pun untuk lakukan perubahan.
Jadi, buat apa rakyat mahu percaya kata-kata mereka yang kononnya mahu membawa perubahan ke negeri ini sedangkan kita tidak nampak pun kesungguhan itu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan Jentera Wanita Barisan Nasional (BN) Sarawak di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lama, Petra Jaya, di sini hari ini.
Yang turut hadir isteri Ketua Menteri, Puan Sri Ragad Kurdi Taib; Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu Numpang; Pengerusi Wanita Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Shahrizat Jalil serta Timbalan Pengerusi Wanita BN negeri, Datuk Fatimah Abdullah.
Abdul Taib dalam pada itu berkata, BN selama ini terbukti mengotakan apa yang dijanjikan berikutan membawa kemajuan dan melakukan perubahan sehingga berjaya menjadikan Sarawak setaraf negeri-negeri lain di Semenanjung.
Tidak cukup dengan tunaikan janji yang dibuat, kita tambah lagi macam-macam pembangunan dan perkara baharu yang tidak dijanjikan untuk memastikan rakyat hidup sejahtera.
Jadi bukan pembangkang, sebaliknya BN yang berhak meminta kepada rakyat supaya sekali lagi diberi kuasa mentadbir negeri ini, sekali gus meneruskan kesinambungan perjuangan sedia ada," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan