Pages

6 Februari 2013

Tidak ada sebab untuk rakyat ubah kerajaan

ALOR GAJAH 4 Feb. - Rakyat tidak mempunyai sebab untuk mengangkat pakatan pembangkang sebagai pemimpin negara kerana kerajaan sedia ada yang telah memerintah negara ini sejak 55 tahun lalu telah memenuhi setiap kehendak rakyat dalam segenap aspek selain menjadikan kepentingan rakyat sebagai agenda utama untuk diperjuangkan.
Bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik (gambar) berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) telah mempamerkan mutu perkhidmatan terbaik kepada rakyat sejak negara mencapai kemerdekaan dan kini di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak usaha itu tetap diteruskan.
Menurutnya, sebagai sebuah kerajaan yang sentiasa mendengar denyut nadi rakyat, pelbagai usaha dan transformasi dalam pentadbiran kerajaan dilaksanakan bagi memenuhi keperluan rakyat tanpa menyisihkan sesiapa biarpun berbeza fahaman politik, kaum dan agama.
"Mereka mahu ubah kerajaan kerana mahukan perubahan dalam dasar kerajaan, bagi saya ini semua tidak perlu kerana kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak adalah kepimpinan transformasi.
"Adanya kepimpinan transformasi ini, rakyat yang mahukan perubahan dalam kerajaan, ada transformasi kerajaan, ekonomi, politik dan undang- undang seperti yang diharapkan oleh rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas merasmikan majlis Sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Kawasan Rukun Tetangga Paya Mengkuang, Masjid Tanah di sini malam tadi.
Katanya, kepimpinan negara sekarang ini berada pada tahap yang terbaik sama ada dari segi kestabilan politik, ekonomi dan sosial yang pastinya tidak mampu dicapai oleh pakatan pembangkang sekiranya diberi peluang untuk mentadbir negara.
"Pelbagai masalah timbul di negeri yang ditadbir mereka (pembangkang), banyak isu yang gagal mendapat kata sepakat dan saya yakin sekiranya tampuk pemerintahan negara ini diserahkan kepada pembangkang maka akan musnahlah segala kemakmuran yang dikecapi rakyat pada hari ini," katanya.
Tambahnya, keharmonian kaum merupakan antara kejayaan terbesar dilakukan oleh BN sepanjang tempoh mentadbir negara ini kerana menyatupadukan rakyat yang berbeza kepercayaan agama, kaum dan budaya bukan sesuatu yang mudah dilaksanakan.
Rahim berkata, kini seluruh rakyat dapat hidup dengan aman hasil perjuangan dan usaha kerajaan dan diperkasakan dengan gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan Najib yang menjadi pengikat kepada perpaduan kaum di negara ini.
"Sepanjang pentadbiran kerajaan BN yang mempamerkan track record yang bersih, kerajaan pastinya telah memahami sensitiviti orang Cina, India dan Melayu serta kaum lain-lain yang hak semua kaum itu tidak langsung dicabuli dan mereka bebas mengamalkan cara hidup masing-masing," katanya.
Justeru katanya, rakyat tidak harus memperjudikan masa depan generasi akan datang dengan melakukan kesilapan memberikan peluang kepada pembangkang menjadi 'tuan' di negara ini kerana segala kemakmuran dan kesenangan yang dikecapi oleh rakyat akan musnah sekiranya mereka berkuasa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan