Pages

28 Mac 2013

Guan Eng jangan tipu rakyat

KUALA LUMPUR 25 Mac - Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor mencabar Kerajaan DAP Pulau Pinang memansuhkan caj-caj perkhidmatan yang murah di negeri itu terlebih dahulu sebelum bercakap mengenai projek mega termasuk terowong dasar laut bernilai RM6.8 bilion.
Beliau menegaskan kerajaan negeri perlu menghapuskan caj tempat letak kenderaan yang berharga antara 50 sen dan RM2 di negeri itu dahulu sebelum menggunakan sebegitu banyak duit rakyat untuk melaksanakan projek tersebut.
Menurutnya, langkah itu lebih murni serta dapat meringankan beban rakyat berbanding mengenakan tol kepada rakyat menerusi projek terowong dasar laut itu.
Beliau turut membidas langkah DAP untuk mengenakan tol sedangkan ia bertentangan dengan manifesto pakatan pembangkang sebelum ini untuk menghapuskan tol sekiranya berkuasa.
"Saya musykil kenapa kerajaan negeri beria-ia mahu membina terowong itu dan mengatakan mereka terpaksa mengenakan tol sedangkan selama ini mereka yang berkeras mahu menghapuskan tol.
"Kalau benar tol itu tidak penting dan hanya membebankan rakyat, hapuskan sahaja semua tol," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Guan Eng semalam yang memberi alasan terpaksa mengenakan bayaran tol bagi terowong dasar laut sepanjang 7.2 kilometer (km) dari Persiaran Gurney ke Bagan Ajam yang mahu dibinanya kerana takut kalah kepada Kerajaan Persekutuan sekiranya kes berkenaan dibawa ke mahkamah.
Shaziman juga musykil dengan sikap kerajaan negeri yang bersungguh-sungguh mahu membina projek mega itu sedangkan kerja-kerja yang sepatutnya menjadi tumpuan mereka selama lima tahun ini tidak diendahkan.
Katanya, ketika peringkat awal memegang pentadbiran kerajaan Pulau Pinang, mereka tidak pernah memikirkan tentang kaedah menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas di negeri itu sehinggakan kerajaan Persekutuan pula yang membina Jambatan Kedua Pulau Pinang.
"Kita tidak mahu rakyat negeri itu dibohongi dengan kisah dongeng terowong ini yang tidak tahu bila akan dilaksanakan. Jangan hanya uar-uarkan kisah seperti ini ketika saat-saat pilihan raya.
"Jangan jadi seperti kisah Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai yang kononnya akan dibina oleh kerajaan Pas tetapi sampai hari ini, kita tidak nampak pembinaannya tetapi sering disebut mengenai pembinaan lebuh raya itu," ujarnya.
Katanya, kenyataan Guan Eng yang pihaknya terpaksa mengenakan bayaran tol tersebut sebenarnya menonjolkan pemimpin pembangkang itu memperakui kepentingan tol dalam pembinaan sesuatu lebuh raya.
Beliau menjelaskan, kewujudan tol bukan untuk keuntungan semata-mata sebaliknya bertujuan memberi perkhidmatan terbaik kepada pengguna menerusi aspek penyelenggaraan seperti yang ditanggung oleh kerajaan Pusat kini iaitu kira-kira RM800 juta sehingga RM1 bilion untuk seluruh jalan dan lebuh raya persekutuan bagi tujuan tersebut.
"Saya tahu Guan Eng menyedari hakikat itu, tetapi saya tidak kisah beliau mahu beri banyak alasan.
"Saya pun tidak kisah dia mahu membuat terowong atau bina tol atau pun tidak buat apa-apa, yang paling penting jangan tipu rakyat dengan cerita yang tidak logik dan semata-mata gimik," katanya.
Beliau turut menyelar sikap kerajaan negeri yang tidak ikhlas membantu rakyat negeri itu terutama dalam isu tol.
Menurutnya, mereka boleh menanggung separuh daripada bayaran tol jika benar-benar mahu membantu rakyat.
"Kalau kerajaan DAP Pulau Pinang benar-benar ikhlas hendak menolong rakyat, mereka boleh buktikan dengan membayar separuh daripada tol di Jambatan Pulau Pinang untuk rakyat dengan membayar separuh daripada bayaran tol tersebut kepada syarikat konsesi.
"Masalahnya kerajaan Pulau Pinang tidak ikhlas dan hanya membuat kenyataan untuk gimik politik," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan