Pages

28 Mac 2013

'Salahuddin usah berlakon jadi penyelamat'

Shahrir Abdul Samad melancarkan Jentera PRU-13 Wanita, Pemuda dan Puteri BN Johor Bahru di Larkin, Johor, semalam. Turut hadir ADUN Tanjung Puteri, Datuk Adam Sumiru (dua dari kanan); Ketua Pemuda BN Johor Bahru, Khalid Mohamad, (tiga dari kanan) dan Ketua Penerangan BN Johor Bahru, Abu Talib Alias (kanan). 
*****
JOHOR BAHRU 25 Mac - Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub dinasihatkan supaya tidak mewujudkan gambaran seolah-olah menjadi 'penyelamat' isu tanah di negeri ini sedangkan tanah di Kelantan di mana dia menjadi Ahli Parlimen Kubang Kerian, terjual kepada orang luar.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, khabar angin penjualan tanah Kampung Melayu Majidee di sini yang diperkatakan Salahuddin dalam ceramah pembangkang di kampung tersebut semalam, adalah tidak benar.
"Komisen lumayan? Siapa nak jual? Tanah di Kampung Melayu (Majidee) dah bertuan jadi siapa yang nak jual (terpulang kepada mereka). Kalau tuan punya tanah, memang ada yang dah jual kepada pembeli yang layak membeli kerana ini bukan tanah kerajaan tetapi milik individu.
"Yang sebenarnya ini jadi masalah, tidak tahu keadaan sebenar dan buat cerita seolah-olah boleh menjadi penyelamat. Dia (Salahuddin) jadi wakil rakyat Kubang Kerian di negeri Kelantan, tanah dijual kepada orang bukan Kelantan.
"Jadi dari segi rekod dan kebolehan dan prestasi, kerajaan Pas itu sendiri, di negeri dia menjadi Ahli Parlimen tidak boleh meyakinkan orang yang dia akan boleh buat apa yang dia nak buat. Tak payahlah nak wujudkan gambaran datang menyelamat," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) Wanita, Pemuda dan Puteri BN Johor Bahru di Jalan Langkasuka, Larkin di sini semalam.
Dalam ceramah di padang awam Kampung Melayu Majidee yang turut dihadiri Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, Salahuddin mengatakan terdapat ura-ura penjualan tanah di Kampung Melayu dengan komisyen yang lumayan dan berjanji akan mempertahankan kampung tersebut 'walau seinci pun'.
Shahrir yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru berkata, penduduk Kampung Melayu Majidee hidup dengan selesa namun Salahuddin tidak mengetahui perkara tersebut kerana tidak berada di situ dan hanya muncul untuk menggembar-gemburkan cerita wujud ejen komisen mahu menjual tanah.
"Memanglah ada yang jual, bertukar tangan tetapi antara individu dengan individu. Dari mana komisen datang kerana tiada siapa boleh jual kalau bukan pemilik sendiri. Semalam pun cakap isu setinggan tetapi ada kampung yang dia sebut tiada dalam kawasan Kampung Melayu Majidee. Bercakap macam faham tetapi sebenarnya tidak," katanya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan