Pages

3 Mac 2013

Jui Meng minta pengundi sokong BN

MUAR 2 Mac - Bekas Menteri Kesihatan, Datuk Chua Jui Meng mungkin masih 'sayangkan' Barisan Nasional (BN) apabila meminta rakyat menyokong BN pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.
Beliau yang kini Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, tersasul meminta orang ramai berbuat demikian ketika berucap dalam Ceramah Perdana Demi Rakyat di perkarangan Pejabat PKR Muar di sini malam tadi.
Nyata Jui Meng yang berjuang selama 23 tahun dalam MCA masih dibayangi kebaikan serta jasa BN kepada rakyat sehingga tersasul meminta sokongan diberikan kepada parti pemerintah tersebut.
"Di Parlimen Muar, orang India diharap bersama pengundi Cina untuk mengundi Barisan Nasional," katanya sambil disambut sorakan penyokongnya sebelum segera memperbetulkan kenyataan itu dengan mengatakan bukan BN yang dimaksudkan tetapi pakatan pembangkang.
Kenyataan Jui Meng itu menyebabkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut berada di atas pentas terkejut dan kemudian tersenyum sinis.
Ceramah anjuran parti pembangkang tersebut dihadiri kira-kira 1,000 orang dan kebanyakannya kaum Cina walaupun kawasan itu dihuni majoriti Melayu.
Sementara itu, Ahli Parlimen Muar, Datuk Razali Ibrahim yang diminta mengulas kenyataan Jui Meng itu percaya, kata-kata bekas pemimpin MCA tersebut lahir daripada hatinya yang ikhlas.
"Sebenarnya di hati Jui Meng, beliau lebih ikhlas dengan BN tetapi disebabkan mahu kuasa, dia pilih pakatan pembangkang. Jika kita teliti, sebenarnya kepercayaannya lebih kepada BN, sebab itu dia tersasul apabila berucap," katanya.
Razali yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO secara sinis mengucapkan terima kasih kepada Jui Meng kerana pada penghujung ucapannya selama kira-kira 20 minit itu, beliau meminta rakyat menyokong dan mengundi BN. - UTUSAN

Tiada ulasan:

Catat Ulasan