Pages

3 Mac 2013

PM lancar jentera pilihan raya BN Parlimen Pekan

NAJIB Tun Razak disambut ribuan wakil jentera Barisan Nasional yang hadir pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Parlimen Pekan di Dewan Konvensyen Pekan, Pahang, semalam. - UTUSAN/MAHATHIR ALI
PEKAN 1 Mac - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) Parlimen Pekan di Dewan Konvensyen di sini.
Majlis itu dihadiri kira-kira 5,000 jentera parti parlimen tersebut.
Yang turut hadir, Timbalan Pengarah Pilihan Raya Parlimen Pekan, Datuk Ishak Muhamad.
Perdana Menteri dalam ucapannya menyeru semua jentera parti di kawasan Parlimen itu bekerja kuat bagi memastikan Pekan terus menjadi kubu BN pada pilihan raya umum akan datang.
"Saya tidak akan lupa bumi Pekan ini, ini tempat tumpah darah saya, saya anak watan di sini, saya akan lakukan yang terbaik untuk bumi Pekan ini.
"Kita sebagai rakyat Pekan perlu menghantar mesej kepada orang luar supaya jangan ganggu kita di Pekan, Pekan adalah bumi BN, kita akan kerja kuat untuk kekalkan Parlimen ini sebagai kubu kuat BN," katanya.
Najib dalam pada itu turut menyeru seluruh jentera parti supaya bersatu dan bekerja bersama-sama bagi meningkatkan jumlah majoriti kemenangan pada pilihan raya umum akan datang.
"Pada pilihan raya umum lalu, Pekan telah mencatat majoriti paling tinggi iaitu lebih 26,000 undi dan tahun ini kita hendak lebih tinggi. Kita akan bekerja siang dan malam untuk memastikan hasrat ini menjadi kenyataan.
"Saya hendak melihat setiap rumah yang sokong BN, kibar bendera. Tak cukup satu, dua, pastikan kita menang perang bendera. Kita perlu pastikan apabila orang luar masuk setiap lorong di Parlimen ini mereka tahu Pekan ialah milik BN," katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pekan berkata, pelbagai perkara telah dilaksanakan kerajaan BN di daerah tersebut bukan sahaja dari segi pembangunan malah kesejahteraan rakyat sentiasa terbela.
"Jalan di Pekan ini telah lebar, universiti ada, masjid ada, pusat automotif ada, Taman Agropolitan ada, Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) pun ada, McDonald juga ada dan tak lama lagi hotel empat bintang akan siap dibina di sini.
"Apa yang kita mahu, semua ada di Pekan ini. Walaupun saya tiada di sini, saya lakukan semuanya untuk rakyat kerana kita mendahulukan rakyat dan janji ditepati berbeza dengan pembangkang yang hanya pandai berjanji tetapi kosong," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan