Pages

6 Mac 2013

Manifesto BN menyeluruh

KOTA BHARU 3 Mac - Manifesto Barisan Nasional (BN) Kelantan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan bersifat menyeluruh yang mencakupi pembangunan fikizal dan spiritual selain menekan aspek perpaduan antara rakyat.
Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, dalam aspek pembangunan fizikal manifesto itu mencakupi tujuh projek besar berimpak tinggi yang dijanjikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini.
Tujuh projek tersebut ialah pembinaan lebuh raya Kota Bharu-Kuala Krai secara berperingkat, pembinaan masjid berharga kira-kira RM50 juta, stadium baharu, perumahan rakyat sebanyak 3,000 unit, kampus bandar Universiti Teknologi Mara (UiTM), sistem pengangkutan Rapid Kota Bharu dan menyelesaikan masalah air.
Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, antara bidang lain yang bakal dimasukkan dalam manifesto itu ialah kemudahan asas di luar bandar yang disifatkan penting dengan mengambil kira sosioekonomi rakyat negeri ini.
"Kebanyakan rakyat Kelantan masih tinggal di luar bandar, sudah pasti manifesto ini juga akan mencakupi tentang pembangunan luar bandar.
"Selain itu, soal perpaduan juga amat penting, kita tidak mahu rakyat Kelantan berpecah-belah, kita mahu adakan program dakwah, tarbiah untuk pastikan kita sedar dan insaf perlunya kita bersatu, menjadikan kita umat yang kuat," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan pembukaan Pusat Enterpris SME Bank Kota Bharu berharga RM3.5 juta di Jalan Kebun Sultan di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi SME Bank, Datuk Gumuri Hussain dan Pengarah Urusannya, Datuk Mohd. Radzif Mohd. Yunus.
Mengulas mengenai tujuh projek dijanjikan, Mustapa berkata, perbincangan awal telah dilakukan namun beliau enggan mengulas lanjut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan