Pages

6 Mac 2013

Transformasi supaya terus relevan

Mukadimah
PERSATUAN Bekas Tentera Malaysia (PBTM) baru-baru ini telah menyaksikan perubahan kepimpinan apabila seorang Presiden baru daripada kalangan bekas Panglima Angkatan Tentera (PAT) telah dipilih. Tokoh yang pernah mencatat sejarah sebagai PAT pertama bukan daripada kalangan Tentera Darat, menegaskan PBTM perlu sentiasa proaktif dan peka dengan keadaan persekitaran yang sering berubah untuk memastikan kewujudannya terus relevan dan dihormati setiap lapisan rakyat jelata dan kerajaan.
Dalam satu wawancara dengan wartawan Utusan Malaysia, NIZAM YATIM dan jurugambar, RASHID MAHFOF, baru-baru ini, LAKSAMANA (B) TAN SRI MOHD. ANWAR MOHD. NOR (gambar) menjelaskan mengenai strategi jangka pendek confidence building measure (CBM) sebagai satu cara untuk memulih kembali imej dan kewibawaan PBTM.
UTUSAN: Bagaimana untuk memastikan PBTM terus relevan?
MOHD. ANWAR: Kita telah merangka strategi jangka pendek iaitu CBM sebagai satu cara untuk memulih kembali imej dan kewibawaan PBTM di kaca mata kerajaan dan rakyat jelata.
Langkah ini perlu dilakukan kerana walaupun PBTM adalah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang lama di negara ini iaitu lebih 90 tahun, tetapi kini berlaku pelbagai perubahan termasuk kewujudan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) yang telah mengambil alih fungsi menjaga kebajikan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) daripada PBTM. Oleh itu, PBTM haruslah melihat secara dalaman dan bermuhasabah diri, melihat sama ada ia relevan lagi pada masa kini dan masa depan.
Apakah strategi jangka panjang?
Dalam jangka panjang ini kita nak buat satu anjakan paradigma untuk memperkasa dan mentransformasi organisasi, sistem dan proses serta minda dalaman PBTM bagi meningkatkan tahap penerimaan veteran ATM terhadap PBTM secara menyeluruh.
Bermakna kita hendak mewujudkan satu pelan transformasi PBTM yang dijangka siap dalam tempoh tiga bulan daripada sekarang. Susulan daripada pelan transformasi itu kita akan ada pelan tindakan yang menjadi panduan PBTM peringkat negeri.
Apakah pelan tindakan dalam waktu terdekat ini?
Antaranya adalah untuk memperkukuhkan ekonomi PBTM kerana sekarang kita tidak mempunyai dana yang mencukupi untuk melaksanakan pelbagai aktiviti yang boleh membela nasib veteran ATM.
Kita juga nak melihatkan kepada isu-isu yang pernah dibangkitkan dahulu seperti veteran sukar mendapat pekerjaan, sukar mendapat peluang perniagaan dan sukar mendapat rumah dengan harga berpatutan. Kami merasakan isu-isu yang telah pun dibangkitkan dahulu masih lagi menjadi isu sejagat termasuk mendekatkan jurang antara mereka yang berpencen dan yang tidak berpencen serta antara mereka yang berpencen dahulu dengan yang berpencen sekarang. Isu lain melibatkan pemberian wang ‘one-off’ sebanyak RM1,000. Saya sudah usulkan bayaran ini juga dipanjangkan kepada kira-kira 11,000 balu veteran ATM. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri telah memberi jaminan akan membangkitkan perkara itu untuk kelulusan kerajaan.
Perkara lain melibatkan pelaksanaan tujuh inisiatif dalam rangka Strategi Lautan Biru yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Kuala Kangsar, Perak pada 15 Disember 2012.
Bagaimana kebajikan keluarga bekas tentera yang diberhentikan kerana masalah disiplin?
Banyak maklum balas yang kita terima menyatakan mereka yang diberhentikan kerana sebab ‘Para 49’ iaitu berkaitan disiplin langsung tidak diberikan bantuan.
Kalau mereka tidak diberi bantuan langsung, mereka kata tak apa, tetapi tanda tanya mereka adalah tidak bolehkah bantuan itu disalurkan kepada keluarga mereka termasuk anak-anak?
Ini antara perkara yang PBTM sedang lihat termasuk bentuk bantuan yang boleh diberikan seperti biasiswa melanjutkan pengajian menerusi Yayasan Warisan Perajurit. Ini selaras dengan pandangan kita bahawa tak sepatutnya keluarga dimasukkan dalam golongan menerima hukuman.
Ada dakwaan ahli sukar mengemukakan aduan?
Ya, itu adalah antara perkara pertama yang kita bincangkan dalam mesyuarat. Kita berpendapat adalah sangat penting laman web persatuan dikemaskinikan dan ia juga harus menyediakan ruang untuk veteran mengemukakan aduan.
Kepada semua Yang Dipertua PBTM negeri-negeri saya nak tekankan, apa sahaja isu atau masalah yang disampaikan veteran boleh disalurkan ke ibu pejabat melalui pelbagai saluran dan mereka juga masih boleh menggunakan emel dan faksimile.
Tetapi yang terbaik adalah melalui laman web PBTM dan media-media sosial yang sedang kita usahakan supaya perkara-perkara berkaitan kebajikan veteran dapat kita tangani dengan lebih berkesan dan efektif.
Bagaimana PBTM menangani isu veteran tidak mampu membeli rumah?
Memang ada veteran yang tak mampu nak membeli rumah kerana harga semakin naik mendadak. Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang dipengerusikan oleh saya ada membina beberapa projek iaitu di Mutiara Damansara, Selangor dan Mutiara Rini, Johor dan terbaru, projek perumahan di Taman LTAT, Bukit Jalil, Selangor. Saya lihat model ini adalah yang terbaik untuk kita panjangkan kepada semua veteran yang tidak mampu membeli rumah.
LTAT telah membina rumah tiga bilik dengan harga yang sangat berpatutan mengikut kategori iaitu rumah mampu milik (RM42,000) sahaja, sederhana rendah (RM67,000) dan sederhana (RM137,000). Ini adalah harga khas untuk veteran dan yang masih berkhidmat.
Saya ada rancangan untuk cuba memperluaskan pembinaan rumah sedemikian dengan PBTM bekerjasama dengan LTAT. Kemungkinan kita tidak dapat lagi harga seperti dahulu tetapi harga rumah terbabit tetap akan lebih rendah daripada harga pasaran. Untuk mengurang kos kita akan cuba mendapatkan tanah yang lebih murah. Kalau PBTM ada tanah di negeri-negeri kita akan gunakan tanah itu. Kalau tidak ada tanah, kita akan memohon daripada kerajaan negeri dan apabila mendapat tapak yang sesuai kita akan jemput LTAT untuk membina rumah itu.
Ada bekas pegawai yang membocor rahsia tentera di pentas ceramah pembangkang?
Saya pun veteran ATM. Pada hemah saya, kalau saya telah bersara, saya akan masih berpegang teguh kepada etos atau etika tentera yang saya telah membuat satu perjanjian semasa berkhidmat iaitu untuk menyimpan rahsia negara, tentera dan rahsia perkhidmatan.
Sebagai veteran saya ingin memegang kepada prinsip ini walaupun saya tidak berkhidmat lagi. Jadi saya rasa eloklah semua orang memegang kepada kepada prinsip ini terutamanya tidak mendedahkan kekuatan tentera kita. Kalau mereka mendedahkan perkara-perkara yang termasuk dalam ruang lingkup rahsia tentera atau rahsia kerajaan, tentera sendiri boleh ambil tindakanlah. Bagaimanapun, jika mereka tidak menyentuh perkara-perkara rahsia secara spesifik, mereka boleh untuk meluahkan pendapat selaras dengan kedudukan Malaysia sebagai negara demokrasi.
Sekarang wujud terlalu banyak persatuan bekas tentera?
Betul! Ada 61 persatuan yang telah pun didaftarkan. Ada macam-macam persatuan seperti komando, tentera laut dan askar Melayu. Tentera laut pula ada persatuan mewakili pegawainya dan ada pula persatuan untuk lain-lain pangkatnya. Yang terbaru sekali adalah Persatuan Veteran Tidak Berpencen. Sekarang mereka tidak bernaung di bawah PBTM. Walaupun begitu, saya rasa masanya telah sampai untuk kita berganding bahu dan bertindak seolah-olah seperti satu kesatuan.
Ini bukan bererti kita nak wujudkan satu persatuan sahaja, sebaliknya mahu semua persatuan menggunakan kekuatan masing-masing dan bersatu dalam isu-isu sejagat yang bersabit dengan veteran ATM.
Apakah harapan kepada veteran ATM?
Saya nak mohonlah kepada semua ahli dan veteran supaya kita menggunakan PBTM sebagai saluran untuk membangkitkan semua isu-isu kebajikan veteran ATM ini. Berilah peluang kepada barisan kepimpinan PBTM yang sedia ada sekarang untuk mencari pendekatan yang terbaik mungkin untuk mengatasi segala kesulitan dan juga aspek-aspek kebajikan veteran ATM.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan