Pages

31 Mac 2013

Bergerak dalam satu pasukan

WAN Adnan Wan Mamat (tengah) bersama jentera Barisan Nasional dalam majlis pelancaran Gelombang Biru Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Kuantan dan Indera Mahkota di Stadium Tertutup Sukpa, Kuantan, kelmarin. 
*****
KUANTAN 27 Mac - Semua jentera Barisan Nasional (BN) dalam Parlimen Kuantan dan Indera Mahkota diminta bergerak sebagai satu pasukan bagi menawan kembali kerusi yang diduduki pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.
Ketua UMNO Bahagian Kuantan, Datuk Wan Adnan Wan Mamat berkata, kemenangan BN di kedua-dua kerusi itu penting dalam membela nasib rakyat di kawasan tersebut yang sebelum ini terpinggir di bawah pimpinan parti pembangkang.
Menurutnya, kerjasama erat ahli parti dalam komponen perlu dipertingkat jika mahu melihat kerusi Parlimen berkenaan dikembalikan semula kepada BN.
"Walaupun Parlimen Kuantan dan Indera Mahkota dimiliki oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pilihan raya umum lalu, kita tetap meneruskan kerja membantu rakyat dalam usaha mengembalikan kepercayaan mereka kepada BN," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Gelombang Biru Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Kuantan dan Indera Mahkota di Stadium Tertutup Sukpa di sini.
Yang turut hadir Ketua UMNO Bahagian Indera Mahkota, Datuk Mohd. Hazmi Yusoff; Ketua Pergerakan Wanita UMNO Kuantan, Datuk Zaitun Mat dan Ketua Wanita UMNO Bahagian Indera Mahkota, Datuk Ramlah Kassim.
Wan Adnan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri berkata, pemimpin pembangkang di kedua-dua kerusi Parlimen itu gagal melaksanakan tanggungjawab dengan baik menyebabkan rakyat kecewa dengan sikap mereka.
Tambahnya, perubahan itu dapat dilihat apabila pelbagai program atau aktiviti yang dianjurkan oleh UMNO dan parti komponen lain mendapat sambutan menggalakkan sekali gus membawa sinar baharu kerusi parlimen berkenaan akan ditawan oleh BN.
"Walaupun jumlah sokongan dilihat meningkat tetapi kita tidak akan menghentikan usaha membantu rakyat kerana sudah menjadi tanggungjawab dalam menunaikannya," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan