KUALA LUMPUR 28 Mac - Rakyat diminta menolak sekeras-kerasnya pakatan pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) kerana parti itu dipimpin oleh individu yang mempunyai masalah moral yang teruk, kata beberapa bekas pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini.
Menurut mereka, individu terbabit bukan hanya menyokong dan mengamalkan perilaku seks songsang tetapi juga mempunyai pendirian agama yang longgar, sekali gus tidak mencerminkan keperibadian seorang ketua negara.
Bekas Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim berkata, rakyat perlu menilai dengan mendalam latar belakang individu yang berjuang untuk mengangkat dirinya sebagai Perdana Menteri kerana tidak mahu negara dipimpin oleh seseorang yang rosak moralnya.
Jika pemimpin negara mempunyai masalah moral, bagaimana kita nak sokong (mereka). Rakyat perlu mempersoalkan moral ketua pemimpinnya terlebih dahulu sebelum membuat keputusan memberi sokongan kepada pembangkang," kata Ahli Parlimen Bayan Baru itu ketika dihubungi Utusan Online hari ini.
Bekas Exco Pemuda PKR, Abdul Ghani Harun pula berkata, rakyat perlu mengimbau kembali kes liwat pertama yang berlaku pada tahun 2004 apabila ketiga-tiga hakim Mahkamah Rayuan bersetuju bahawa berlakunya aktiviti homoseksual membabitkan individu terbabit dengan mangsa di Tivoli Villa.
Katanya, keputusan tersebut tidak disanggah oleh individu berkenaan sebaliknya memberitahu orang ramai bahawa kejadian tersebut mempunyai niat jahat.
Beliau pernah berkata akan mengarahkan peguam-peguamnya supaya mengeluarkan perkataan yang mengaitkan aktiviti homoseksual daripada penghakiman hakim. Sehingga ke hari ini tiada apa-apa tindakan daripada peguam-peguam tersebut, ujarnya yang juga Presiden Warisan Anak Merdeka.
Tambah Abdul Ghani, beberapa pendedahan lain membabitkan soal moral pemimpin berkenaan selepas itu membuktikan bahawa kegiatan sedemikian seolah-olah sudah menjadi amalannya.
Pendedahan tidak akan dibuat sekiranya tidak berlaku dan tidak mempunyai bukti, katanya.
Selain masalah moral, pemimpin berkenaan juga sanggup memesongkan akidah umat Islam di negara ini dengan menyokong penggunaan kalimah Allah di dalam kitab Bible versi bahasa Melayu.
Bagaimana hendak mempertahankan Islam sekiranya dia sendiri tidak jelas dengan apa yang diperkatakannya. Teras Malaysia adalah Melayu Islam di negara ini, tegasnya. - UTUSAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan