Pages

31 Mac 2013

PKR diberi tempoh seminggu

KUALA LUMPUR 28 Mac - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pahang diberi tempoh seminggu untuk memohon maaf secara terbuka kepada Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berhubung penggunaan gambar beliau pada satu poster milik parti pembangkang itu.
Syed Ali menyifatkan angkara tersebut sebagai perbuatan khianat dan menegaskan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak bertanggungjawab.
“Saya tiada mempunyai kaitan dalam apa jua program anjuran pembangkang. Sehubungan itu, saya cabar mereka yang terlibat untuk menyatakan permohonan maaf secara terbuka dalam tempoh yang ditetapkan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Syed Ali berkata demikian sebagai mengulas poster yang mengaitkan nama dan foto beliau sebagai salah seorang individu yang dikatakan akan menghadiri program Pidato Lahad Datu anjuran PKR Pahang esok.
Poster berkenaan disiarkan menerusi portal Pahang Daily Online (PDO) pagi ini.
Bagaimanapun, Ketua Penerangan PKR Pahang, Razali Alias dalam satu kenyataan di portal yang sama mendakwa, kesilapan tersebut berpunca daripada masalah teknikal dan tidak disengajakan.
Syed Ali yang menyifatkan alasan tersebut sebagai tidak masuk akal, yakin perkara tersebut dibuat secara sengaja bertujuan mencemar reputasi dan kredibiliti beliau sebagai seorang pemimpin politik.
“Ini kerana jika kesilapan yang berlaku hanya pada nama atau gambar, mungkin alasan itu boleh diterima, namun ini berlaku kepada kedua-duanya.
“Perbuatan itu pada hemat saya, jelas bermotifkan politik dengan sengaja melakukan hasutan, provokasi dan cubaan merosakkan perpaduan dalam kalangan ahli UMNO," katanya.
Menurut Syed Ali lagi, beliau menyedari perkara itu pagi ini setelah menerima khidmat pesanan ringkas dan panggilan telefon daripada orang ramai.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan