Pages

31 Mac 2013

Asyik 'salah', DAP cuai bahayakan rakyat, negara

KUALA LUMPUR 28 Mac - Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dibidas kerana begitu mudah memberikan alasan tersilap menulis angka berhubung kos pembinaan projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.
Setiausaha Agung Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Syed Hassan Syed Ali berkata, tindakan Guan Eng itu menunjukkan betapa bahayanya jika pakatan pembangkang yang dikuasai DAP memerintah negara.
“Cukup mudah memberi alasan. Alasan mudah oleh DAP ini nampaknya sudah mula menjadi perkara biasa.
“Tahun lepas begitu mudah beri alasan tersilap kira kertas undi dalam pemilihan Jawatan Kerja Pusat (CEC), itu pun berlaku selepas pelbagai pihak mempertikaikan tindakan parti tersebut yang menolak wakil Melayu dalam barisan kepimpinannya," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau mengulas sikap Guan Eng yang memberi alasan berlaku masalah salah taip dalam pengumumannya mengenai peningkatan kos sebanyak RM2.2 bilion bagi pembinaan projek terowong dasar laut yang sebelum ini dilaporkan hanya RM4.08 bilion dan terkini berjumlah RM6.3 bilion.
Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP mendakwa Ketua Penerangan Pemuda Barisan Nasional (BN) negeri, H’ng Khoon Leng hanya mengambil kenyataan ‘salah’ beliau berhubung maklumat pembiayaan kos terowong sedangkan beliau telah memperbetulkan kenyataan tersebut.
Kelmarin, Khoon Leng mempersoalkan mengenai peningkatan kos terowong dasar laut berserta tiga lebuh raya di bawah perancangan kerajaan DAP negeri yang meningkat kepada RM6.3 bilion berbanding RM4.08 bilion pada September 2011.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan