Pages

31 Mac 2013

'Silap taip': Salah UMNO, MIC?

KUALA LUMPUR 28 Mac - Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng didakwa akan menyalahkan UMNO dan MIC atas masalah 'silap taip' ketika pengumuman mengenai kos pembinaan projek terowong dasar laut Pulau Pinang.
Naib Pengerusi Strategik MIC, Datuk R. Ramanan (gambar) berkata, sekiranya benar dakwaan dan khabar angin tersebut, beliau secara peribadi menggesa Ketua Menteri Pulau Pinang itu mengemukakan bukti.
Tegasnya, selain isu 'silap taip', Guan Eng juga difahamkan mahu menyalahkan UMNO dan MIC berhubung masalah 'silap kira' undi Vincent Wu dan Zairil Abdullah dalam proses pengiraan undi semasa pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) parti itu.
"Semua hendak salahkan UMNO dan MIC. Selepas ini jika dia (Guan Eng) silap pakai baju juga akan menyalahkan UMNO dan MIC.
"Guan Eng perlu sedar, dia tidak boleh membohongi rakyat sampai bila-bila. Apabila sudah terbukti, pelbagai alasan diberikan seperti silap kira, silap taip dan seterusnya menyalahkan UMNO serta MIC," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Guan Eng memberi alasan berlaku masalah 'silap taip' dalam pengumumannya mengenai kos pembinaan projek terowong dasar laut berserta tiga rangkaian lebuh raya yang dirancang oleh kerajaan DAP Pulau Pinang.
Dalam pada itu, Ramanan turut menggesa Guan Eng supaya tidak menuding jari kepada UMNO dan MIC atas alasan 753 perwakilan tidak menerima notis mesyuarat pemilihan CEC pada 15 Disember lalu.
Katanya, berdasarkan maklumat dalaman DAP, sebahagian 753 perwakilan itu adalah kaum India, Melayu dan Cina yang tidak 'sebulu' atau menyokong perjuangan politik Guan Eng.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan