Pages

25 April 2013

'Ada pemimpin tidak senang kelantangan saya'

KUALA LUMPUR 23 April - Calon Bebas bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Teratai, Jenice Lee terkejut apabila mendapati beliau digantung daripada parti DAP berkuatkuasa 18 April lalu.
Lebih mengejutkan surat tersebut tidak pernah sampai ke tangannya, sebaliknya diedarkan kepada wartawan oleh Pengerusi Lembaga Disiplin DAP, Tan Kok Wai hari ini.
Menurut Jenice, antara isi kandungan surat tersebut, Jawatakuasa Disiplin DAP mendapati beliau terlibat dengan rasuah dan salah guna kuasa sehingga digantung selama enam bulan berkuat kuasa dari tarikh surat itu dikeluarkan.
"Saya berasa terkejut dan musykil kerana tidak pernah menerima apa-apa surat berhubung penggantungan keahlian saya. Kedua, surat itu tidak mempunyai kepala surat rasmi parti.
"Bagaimana boleh diedar begitu sahaja surat begitu penting seperti ini? Mengapa saya tidak diberitahu awal-awal pada 18 April lepas? Sekurang-kurangnya saya tahu tentang kedudukan saya," katanya pada sidang akhbar berhubung perkara tersebut di sini.
Jenice pernah dipanggil memberi keterangan sebagai saksi oleh Jawatankuasa Disiplin DAP berhubung dakwaan penyalahgunaan dana melibatkan seorang pembantunya namun keputusan siasatan tidak pernah diumumkan.
Dalam pada itu, Jenice juga telah dipecat daripada DAP berkuat kuasa semalam berikutan tindakan beliau gagal berundur daripada bertanding atas tiket Bebas bagi mempertahankan kerusi DUN Teratai pada Pilihan Raya Umum Ke-13 ini.
Dalam pada itu, Jenice juga melahirkan rasa kecewa terhadap tindakan parti seolah-olah didalangi oleh segelintir pemimpin yang mahu membunuh karier politiknya.
"Saya hanya dipanggil sebagai saksi tetapi akhirnya disabitkan kesalahan salah guna kuasa dan digantung parti.
"Saya memang tidak faham namun saya pasti terdapat pemimpin yang tidak senang duduk melihat kelantangan dan kepopularan saya dalam parti sehingga mencari jalan 'mengeluarkan' saya," ujarnya.
Jenice juga menegaskan, beliau tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang bagi membersihkan namanya dan mendapatkan keadilan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan