Pages

25 April 2013

Nizar amal kronisme - Zambry

Mohammad Nizar
*****
BUKIT GANTANG 23 April - Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir mendedahkan Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin pernah meluluskan tanah seluas kira-kira 202 hektar (500 ekar) kepada pemimpin tegar parti itu ketika menerajui Perak selama 11 bulan.
Zambry yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri mendakwa, Mohammad Nizar sering menuduh BN mengamalkan kronisme sedangkan pemimpin Pas itu yang melakukan perbuatan tersebut ketika memegang tampuk kuasa.
"Beri tanah seluas 500 ekar kepada seorang individu, jika bukan kroni, apakah maknanya ini? Nak cakap pasal kesaksamaan, tiada rasuah, tetapi apa yang dibuat lain pula," katanya ketika berucap di hadapan penduduk Taman Kuning Sari, Changkat Jering di sini hari ini.
Mohammad Nizar dalam siri ceramahnya sering menuduh kepimpinan Zambry melakukan amalan rasuah selain memberi tanah kepada kroni-kroni, tetapi gagal menunjukkan sebarang bukti apabila dicabar berbuat demikian.
Sebelum ini, Zambry mendedahkan siri pembohongan Mohammad Nizar termasuk dalam isu pembinaan kilang hab besi Vale yang dibantah oleh pemimpin Pas itu sedangkan beliau sendiri telah menandatangani surat persetujuan ketika memegang jawatan Menteri Besar.
Menurutnya, Mohammad Nizar seharusnya mencermin dirinya sendiri terlebih dahulu sebelum melemparkan tuduhan tidak berasas kepada orang lain.
"Dia kena tengok dulu rekod dia dan siapa dia sebelum ini. Dia perlu ingat bahawa dia pernah menjadi Menteri Besar dan perlu juga ingat apabila mahu membuat tuduhan-tuduhan seperti ini, pastikan dahulu diri kita bersih daripada sebarang kesalahan," katanya.
Menurutnya, Mohammad Nizar sedang berusaha memulihkan semula imejnya yang tercalar berikutan pelbagai pendedahan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) berhubung penyelewengan yang pernah dilakukannya.
"Saya pernah berkata kepada beliau supaya berhenti mencabar kerajaan dan nampaknya dia tidak pernah serik seperti yang pernah berlaku dalam sidang DUN, satu ketika dia pernah terdiam apabila saya menunjukkan dokumen berkaitan penyelewengannya," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan