Pages

23 April 2013

Kesamarataan DAP tidak adil, besarkan jurang kaum

JOHOR BAHRU 21 April - Kesamarataan yang diperjuangkan oleh pembangkang terutama DAP dilihat tidak akan membawa keadilan kepada rakyat di negara ini sebaliknya akan mewujudkan jurang perbezaan yang semakin besar.
Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kesamarataan tersebut akan menyebabkan golongan yang masih tercicir terpaksa bersaing secara terbuka dengan mereka yang sudah dan semakin berjaya serta maju.
Beliau berkata, kesamarataan tersebut mungkin boleh dilaksanakan sekiranya negara mempunyai kaum, masalah, isu dan latar belakang yang sama.
"Kita boleh laksanakan kesamarataan jika dalam negara ini (mempunyai) rakyat yang tidak berbeza dari segi kaum dan pencapaian mereka, semua sama... isu semua sama... masalah semua sama... maka mungkin mudah bagi kita bawa pembangunan yang berasaskan kesamarataan.
"Tetapi dalam negara kita ini semuanya berbeza. Kaum, latar belakang dan jati diri rakyatnya adalah berbeza. Sebab itu kita bawakan pembangunan berasaskan kesaksamaan dan bukannya kesamarataan seperti yang dimahukan oleh DAP," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pelan Strategik Keusahawanan Institusi Pengajian Tinggi dan Women In Social Enterprise (WISE) 2013, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah Urusan Amanah Ikhtiar Malaysia, Datuk Zabedah Ismail dan Naob Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Datuk Seri Dr. Zaini Ujang.
Mohamed Khaled yang juga calon untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas berkata, pembangunan atau kemajuan yang digarap oleh kerajaan dengan aspek kesaksamaan telah membawa kepada hidup bermuafakat dan membolehkan negara membangun sehingga menjadi sebuah negara maju.
Beliau berkata, pemuafakatan yang ada antara kaum selain kemajuan yang dibawa menerusi kesaksamaan itu juga membolehkan negara ini mampu berhadapan dengan pelbagai masalah yang turut dialami negara luar yang lain.
Menurut Mohamed Khaled lagi, menerusi konsep kesamarataan itu juga, DAP mahu menghapuskan status bumiputera dan hak-hak keistimewaan yang diperolehi golongan itu.
"Jika ini berlaku, pakatan pembangkang tidak lagi memberi sebarang perhatian kepada program memperkasakan kaum bumiputera seperti yang dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN). Jadi kita perlu bijak untuk memilih keadilan mana yang kita inginkan sama ada ia berteraskan kesaksamaan atau kesamarataan," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan