Pages

13 Mei 2013

DAP dibidas gelar pemimpin UMNO 'syaitan'

KUALA LUMPUR 11 Mei - Setiap ahli politik sepatutnya menonjolkan sikap mulia biarpun berbeza latar belakang agama tanpa menimbulkan persepsi buruk kepada parti lawan semata-mata mahu memenangi suara rakyat.
Pengerusi Sekretariat Ilmuan Malaysia (Ilmu), Prof. Madya. Dr. Fadlan Mohd. Othman berkata, sebagaimana yang dianjurkan agama masing- masing, mereka perlu menjunjung akhlak baik terutama ketika berbicara dengan orang lain.
''Menyentuh sentimen dan peribadi seseorang adalah menyalahi prinsip Islam termasuk agama-agama lain kerana semua agama menganjurkan nilai-nilai mulia.
''Sebagai ahli politik, mereka perlu berpegang kepada akhlak baik, jangan kerana mahu mendapat sokongan rakyat, maka persepsi tidak baik digambarkan kepada pihak lawan,'' katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Kelmarin, Penasihat DAP, Lim Kit Siang menggelar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai 'syaitan' ketika berceramah di hadapan penyokongnya yang sebahagian besar terdiri daripada kaum Cina di Ipoh seperti yang disiarkan oleh sebuah akhbar harian berbahasa Malaysia.
Sebelum itu, seorang pemimpin DAP Johor mengeluarkan kenyataan parti itu telah berjaya menembak 'jantung syaitan' sehingga banyak kerusi BN tewas di negeri itu.
Perbuatan mengaitkan pemimpin BN sebagai syaitan dilihat sebagai satu usaha untuk terus menanam sentimen kebencian dalam kalangan masyarakat kaum itu terhadap kerajaan BN.
Dalam pada itu, beliau berkata, Pas sebagai rakan sekutu dalam pakatan pembangkang apatah lagi dinamakan parti Islam perlu menegur perbuatan seumpama itu kerana jelas bertentangan dengan prinsip agama.
''Pas perlu memberitahu Kit Siang, walaupun berbeza fahaman politik tetapi hak sebagai rakyat Malaysia perlu dihormati.
''Perkara seumpama itu tidak boleh dibiarkan kerana bakal mencetuskan api perkauman, sekali gus menimbulkan keadaan huru-hara dalam negara,'' katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan