KUALA LUMPUR 11 Mei - Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI) menyelar tindakan pihak pembangkang menghasut rakyat membantah keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu demi kepentingan politik mereka.
Presidennya, Datuk K. K. Eswaran berkata, ini terbukti apabila pembangkang menganjurkan perhimpunan haram di Kelana Jaya Rabu lalu walaupun mereka mengetahui tindakan itu boleh mencetuskan rasa tidak aman dan tenteram dalam kalangan rakyat.
Katanya, tindakan pembangkang mempertikaikan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 adalah tidak relevan kerana mereka telah menang besar di Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan.
"Menimbulkan suasana huru-hara, membangkitkan kemarahan, kebencian terhadap kerajaan BN dan menghasut orang ramai supaya sama-sama terlibat merupakan tindakan tidak matang," katanya dalam sidang akhbar anjuran MAICCI di sini hari ini.
"Masyarakat harus faham semua ini dibuat demi kepentingan politik individu yang terdesak," katanya dalam sidang akhbar anjuran MAICCI di sini hari ini.
Dalam pada itu, Eswaran berkata, sokongan kaum India terhadap kerajaan BN dilihat semakin memuncak apabila kaum minoriti itu tidak langsung dipinggirkan sejak negara mencapai kemerdekaan hingga kini.
Jelasnya, masyarakat perlu menolak pemimpin parti politik tertentu yang sering bersandiwara dan memutarbelitkan fakta untuk melindungi kegagalan mereka menunaikan segala janji.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan