Pages

13 Mei 2013

PRU-14 titik penentu kelangsungan UMNO - Muhyiddin

KUALA LUMPUR 11 Mei - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Pilihan Raya Umum Ke-14 akan menjadi titik penentuan kepada kelangsungan UMNO sebagai parti keramat orang Melayu selepas Barisan Nasional (BN) mendapat kembali mandat untuk memerintah negara pada Pilihan Raya Umum Ke-13.
Sehubungan itu, Timbalan Presiden UMNO itu mahu dalam tempoh yang singkat ini semua peringkat kepimpinan parti bermuhasabah dan melakukan pembetulan.
"UMNO mempunyai tempoh selama lima tahun sebelum sekali lagi menghadapi pilihan raya bagi memperoleh mandat rakyat.
"Oleh itu, UMNO perlu melalui satu proses transformasi politik yang lebih komprehensif serta radikal dalam menjadikannya sebagai sebuah parti politik Melayu Islam dan Malaysia yang lebih dinamis, inklusif dan berwawasan," katanya dalam perutusan sempena ulang tahun UMNO ke-67 yang disambut hari ini.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata, langkah-langkah tersebut mampu menjadikan UMNO lebih universal dari segi perjuangan, namun tidak pernah lupa dengan objektif asal kewujudannya.
Muhyiddin menambah, UMNO perlu membuka ruang yang lebih luas kepada generasi muda, kumpulan profesional dan golongan kelas menengah Melayu untuk bergiat secara lebih aktif dalam parti.
"Bukan sahaja kemasukan mereka ke dalam UMNO dialu-alukan, malah mereka perlu dibimbing untuk memainkan peranan yang lebih besar di dalam parti dan seterusnya menerajui parti pada masa hadapan.
"Sempena ulang tahun UMNO yang ke-67 ini, marilah kita menumpahkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada parti. Marilah kita memberikan sokongan padu kepada Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya.
Beliau turut mengajak semua ahli-ahli dan penyokong-penyokong parti memanjat syukur kepada Allah selepas Barisan Nasional (BN) kembali diberi mandat untuk memerintah negara.
"Ulang tahun UMNO yang disambut pada kali ini amat istimewa kerana BN baru sahaja mencapai kemenangan dalam pilihan raya.
"Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih dan tahniah kepada seluruh jentera dan penyokong parti yang telah bekerja keras," katanya.
Beliau berkata, hasil komitmen mereka kedudukan UMNO semakin kukuh dengan kejayaan meningkatkan jumlah kerusi Parlimen daripada 79 kerusi pada 2008 kepada 88 kerusi sekarang.
"Di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN), kerusi yang dimenangi oleh UMNO juga telah meningkat daripada 238 kerusi kepada 241 kerusi. Kita juga berjaya merampas semula Kedah," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan