Pages

10 Jun 2013

Ini bukan soal mainan

Mukadimah
KEBERANIAN beberapa pihak yang sama ada secara sinis atau terang-terangan menghina Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah di laman sosial baru-baru ini telah mencetuskan kemarahan ramai pihak. Hakikatnya perkara ini bukanlah sesuatu yang baru malah sudah berterusan sejak sekian lama mungkin kerana kurangnya tindakan tegas sebelum ini.
Wartawan Mingguan Malaysia, HAFIZAHRIL HAMID telah mewawancara Pensyarah
Undang-Undang dan Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Madya Dr. Shamrahayu Abd. Aziz untuk penjelasan lanjut.
Ujar beliau, pihak ini gagal melihat kepentingan dan peranan yang telah atau boleh dimainkan oleh institusi raja. Namun tindakan tegas adalah perlu untuk mengelak perkara sebegini daripada terus berulang.
MINGGUAN: Bagaimana profesor melihat suasana ketika ini di mana semakin ramai rakyat negara ini tidak lagi menghormati kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai pemerintah tertinggi di negara ini?
SHAMRAHAYU: Pada pengamatan saya, suara mereka yang mempersoalkan kedudukan institusi raja, khususnya Yang di-Pertuan Agong, sebagai pemerintah tertinggi dan juga sebagai Raja Berperlembagaan di negara kita ini agak menjadi-jadi. Suara ini kelihatan di laman-laman sosial atau alam maya. Suasana sebegini agak membingitkan serta merimaskan. Kadangkala, ia telah sampai ke satu tahap kita memerlukan tindakan tegas. Ini kerana apa yang disuarakan itu melibatkan perkara dasar kepada sistem negara atau falsafah negara yang telah lama terbina dan yang telah kita pasak bukan sahaja dalam budaya, bahkan juga dalam sistem pentadbiran dan perundangan negara. Perundangan dan falsafah negara dalam konteks institusi raja ini amat jelas. Perkara yang sebegitu jelas tidak seharusnya dijadikan bahan mainan yang boleh diapi-apikan dan seterusnya membakar kemakmuran serta kestabilan negara.
Tetapi saya fikir ia bukan suara besar atau suara majoriti warga Malaysia. Kerana kita juga melihat ramai lagi kalangan kita yang terus menerus menzahirkan sokongan kepada institusi raja dan masih berpegang kepada peri penting kedudukan institusi raja dalam sistem perundangan dan pentadbiran negara. Sekiranya warga Malaysia memahami dan menghayati falsafah negara serta sedar tentang tanggungjawab mereka sebagai warganegara sebagus mungkin, kebebasan bersuara tidaklah harus diperjuangkan sehingga mencabar atau mengancam sistem Raja Berperlembagaan yang bukan sahaja diiktiraf tetapi juga dipertahankan oleh Perlembagaan Negara - Perlembagaan Persekutuan dan juga Perlembagaan Negeri-Negeri.
Apakah undang-undang yang boleh diterima pakai terhadap pihak yang mengeji dan menghina sultan dan Agong di negara ini?
SHAMRAHAYU: Setakat yang kita ada kini, kita mempunyai Akta Hasutan. Tetapi, hakikatnya, pada fikiran saya Akta Hasutan ini sahaja tidak mencukupi bagi kita mendaulatkan prinsip Raja Berperlembagaan sebagaimana diisytiharkan Perlembagaan Persekutuan dan juga Perlembagaan Negeri-Negeri. Kelemahan yang ada dalam Akta Hasutan mungkin berkaitan pembuktian bahawa kesan sesuatu pernyataan itu sebagai satu bentuk hasutan agak payah untuk dilakukan. Lagipun Akta Hasutan hanya mempunyai peruntukan umum berkaitan kecenderungan menghasut bagi mendatangkan kebencian atau penghinaan atau bagi membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana raja. Kita memerlukan undang-undang yang lebih khusus yang meringankan beban keterangan. Ini terutamanya perlu apabila terdapat pernyataan secara spesifiknya menyebut mengenai pemansuhan sistem Raja Berperlembagaan. Oleh itu kita memerlukan undang-undang khusus dalam hal ini. Dalam hal penggunaan rangkaian dalam talian, kita mempunyai Akta Komunikasi dan Multimedia yang menjadikan perbuatan atau komen yang mengancam atau bersifat jelik dengan niat menyakitkan hati orang lain. Saya merujuk kepada Seksyen 233 Akta ini. Peruntukan ini walau bagaimanapun bukanlah peruntukan khusus berkaitan perbuatan menghina raja secara peribadi, batang tubuh raja sendiri atau menghina institusi raja secara umumnya. Peruntukan ini juga pada pendapat saya masih belum dapat mengekang perbuatan atau komen-komen atau kritikan yang boleh menjejaskan sistem Raja Berperlembagaan yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan yang dibuat atas talian.
Kita juga mempunyai peruntukan dalam Kanun Keseksaan yang menghukum kesalahan berkaitan diri Raja-raja Melayu. Disebut dalam Bab ke-6 Kanun Keseksaan mengenai kesalahan-kesalahan terhadap negara. Terangkum dalam bab ini antara lain, kesalahan berkaitan mengangkat senjata terhadap raja juga terhadap diri raja, termasuk melibatkan kecederaan atau kematian kepada raja. Secara umumnya juga peruntukan Bab ke-6 Kanun Keseksaan ini adalah jelas menjaga prinsip Raja Berperlembagaan sebagaimana kehendak dan inspirasi yang kita dapat daripada Perlembagaan Persekutuan dan juga Perlembagaan Negeri-Negeri. Tetapi peruntukan yang ada ini menunjukkan perbuatan ekstrem dalam konteks jenayah berat. Peruntukan-peruntukan dalam Bab ke-6 ini tidak dapat digunakan dalam terbitan seperti yang menjadi permasalahan semasa kita, terutamanya yang berkaitan terbitan atas talian. Berkaitan persoalan sama ada raja boleh ditegur atau tidak, menarik untuk kita membaca Akta Hasutan, yang mana dalam Seksyen 3(2) yang antara lain menyatakan bahawa perbuatan, ucapan, penerbitan atau benda lain tidak boleh disifatkan sebagai menghasut oleh sebab semata-mata ia menunjukkan bahawa mana-mana raja telah dikelirukan atau tersilap dalam apa-apa langkah yang diambil olehnya.
Ada pihak yang berpandangan tidak salah menegur sultan atau Agong tetapi janganlah sehingga ke tahap mengeji dan menghina. Apa pandangan profesor?
SHAMRAHAYU: Oleh itu, agak jelas di sini bahawa, Akta Hasutan bagaimanapun tidak menjadikan kesalahan atau kecenderungan menghasut sekiranya seseorang itu menyuarakan tentang kesilapan atau kekhilafan seseorang raja. Saya lebih cenderung untuk menyatakan bahawa institusi raja sejak dari dahulu sehingga sekarang bukan dianggap maksum atau bebas daripada kesilapan. Oleh sebab itu terdapat peruntukan perundangan sebegini. Namun, kita tidak boleh menolak bahawa ada kecenderungan masyarakat untuk memandang institusi raja sebagai sebegitu. Ini saya anggap sebagai silap tanggap masyarakat terhadap institusi raja. Warga kita harus lebih faham mengenai kedudukan perundangan dan tidak terpengaruh dengan cakap-cakap mencipta persepsi tidak benar terhadap institusi raja. Walaupun begitu undang-undang yang kita ada, perlu juga diingat dan diambil peduli bahawa, sifat tidak maksum Raja-raja Melayu itu bukan bermakna kita boleh melakukan perkara menghina atau boleh dianggap menghina atau memperlekeh raja secara individu, batang tubuhnya, atau juga institusinya. Di sini saya cuba membezakan antara kritikan dan penghinaan. Kritikan memerlukan landasan betul dan penghujahan yang berasas tanpa emosi panas atau niat jahat. Penghinaan terhadap batang tubuh raja atau institusi raja pula sebaliknya, dilakukan dengan niat jahat atau boleh dianggap sebagai mempunyai niat jahat. Ini boleh dilihat kepada penggunaan patah perkataan atau perbuatan yang pada budaya dan amalannya adalah satu bentuk penghinaan. Perkara ini agak subjektif. Oleh itu kita memerlukan campur tangan mahkamah dalam menentukan sesuatu benda atau perbuatan itu hanya kritikan atau sudah melampaui batas sehingga menjadi satu penghinaan.
Sudah tentu di sini saya mahu menegaskan bahawa penghormatan yang tinggi perlu sentiasa diberikan kepada raja dan institusi tersebut. Ia bukan sekadar cakap-cakap, tetapi dimaktubkan dalam perundangan. Di sini kita perlukan peruntukan undang-undang yang khusus, bukan sahaja peruntukan umum seperti berkaitan kecenderungan menghasut dalam Akta Hasutan, bukan sekadar peruntukan umum dalam Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia yang saya sebut tadi. Kita memerlukan undang-undang sebegini bagi tujuan menjaga tatasusila rakyat juga sebenarnya. Kalau dahulu kita mungkin tidak memerlukan undang-undang sebegini kerana tatasusila, budaya berbahasa di kalangan rakyat masih terjaga rapi dalam lipatan adat dan adab ketimuran kita. Tetapi kini kita dapati atas apa sebab sekalipun, budaya ketimuran ini sudah semakin terhakis atau sebenarnya dihakis dan kita memerlukan satu mekanisme untuk menjaga kelangsungan sistem beraja yang telah menjadi tradisi dan telah dibuktikan sebagai institusi yang diiktiraf.
Pada pandangan profesor apakah tindakan berani mereka ini juga berkait dakwaan menghapuskan sultan dan raja serta selain cuba menubuhkan sebuah negara republik?
SHAMRAHAYU: Saya menyebut tadi bahawa terhakisnya budaya ketimuran serta adat, adab dan tatasusila masyarakat. Mungkin ini menjadi punca. Tetapi saya fikir, faktor lain yang menzahirkan situasi ini mungkin berpunca daripada kurangnya atau tiadanya pemahaman berkaitan institusi raja. Mereka gagal melihat kepentingan institusi raja. Mereka gagal melihat peranan yang telah dimainkan atau boleh dimainkan oleh institusinya.
Mungkin juga kemakmuran dan kesenangan yang dinikmati ini telah menutup pandangan mereka tentang peri penting institusi ini. Kemungkinan juga faktor enggan menerima kewujudan institusi ini. Mereka sedar akan kepentingan institusi ini, tetapi atas sebab keegoan, mungkin kepentingan diri atau kuasa politik, maka mereka mempersoalkan institusi ini dalam pelbagai aspek dan seterusnya menyerang institusi ini menerusi pelbagai cara.
Mengenai perubahan atau pindaan Perlembagaan sehingga menjadikan negara republik ia mungkin boleh dilakukan. Kita lihat perkembangan di tempat lain yang mana perubahan berlaku, daripada negara yang mempunyai institusi raja kepada negara republik. Kita lihat berlaku di Nepal pada tahun 2008. Bagi negara kita, perkara ini mungkin boleh berlaku sekiranya prosedur pindaan Perlembagaan sebagaimana tertakluk kepada peruntukan berkaitan, terutamanya Perkara 159(5) dan Perkara 38 dipenuhi. Ditambah lagi dengan kita tidak mempunyai sekatan yang jelas tentang pindaan kepada pengisian Perlembagaan, atau kita sebut sebagai substantive limitation. Apa yang ada dalam Perlembagaan ialah sekatan atau tatacara prosedur pindaan sahaja, atau yang kita panggil procedural limitation. Sekiranya parti politik yang memerintah itu dengan mudah mendapat sokongan majoriti maka pindaan boleh berlaku. Walau apapun, saya tidak mahu mengulas lanjut mengenai perkara ini, kerana terdapat pandangan dan tafsiran atau hujah-hujah teknikal dan akademik yang memerlukan pendekatan intelektual, bukan sekadar maklumat umum.
Saya sebut tadi ia boleh berlaku, tetapi ia tidak semestinya mudah untuk berlaku. Kita maklum bahawa Persekutuan hanya meminjam salah seorang daripada sembilan raja-raja yang mewakili negeri-negeri Melayu yang membentuk Persekutuan untuk dijadikan Yang di-Pertuan Agong. Maksud saya di sini, sekiranya kita meminda Perlembagaan Persekutuan, kehilangan raja mungkin boleh berlaku di peringkat persekutuan tetapi, ia bukan mudah untuk berlaku kerana kedudukan Raja-raja Melayu masih lagi utuh di negeri masing-masing dengan jaminan yang ditunggakkan kepada Perlembagaan Negeri. Takhta Raja-raja Melayu tetap terjamin kemas dalam Perlembagaan Negeri. Saya fikir perkara sebegini, iaitu mengubah status kepada sebuah negara republik boleh berlaku, tetapi ia bukan proses mudah untuk dilakukan. Walaupun begitu ia bukan mustahil sekiranya kekuatan dan kehendak politik begitu tinggi, sama ada di peringkat persekutuan atau di peringkat negeri.
Apakah akta atau undang-undang sedia ada sudah cukup untuk menangani masalah ini atau apakah undang-undang baru diperlukan untuk mengelak penghinaan terhadap sultan dan Agong berulang?
SHAMRAHAYU: Saya ingin tegaskan bahawa, penambahbaikan mungkin diperlukan dalam peruntukan undang-undang itu sendiri. Mungkin kita boleh memikirkan peruntukan khusus, kalaupun bukan akta khusus. Pada fikiran saya, peruntukan yang paling utama kita perlukan dalam perkembangan semasa ialah undang-undang yang menjenayahkan atau menghukum perbuatan atau penerbitan, secara atas talian atau ucapan atau selainnya, yang cuba mencadangkan kepada penghapusan atau pemansuhan sistem Raja Berperlembagaan. Cadangan bagi mewujudkan peruntukan yang jelas mengenai perkara ini saya sandarkan kepada semangat Perlembagaan yang dapat dilihat dalam perkara 63(5) Perlembagaan Persekutuan. Fasal ini antara lain menjelaskan tentang skop keistimewaan Parlimen, yang mana Ahli Parlimen tidak dilindungi oleh kebebasan bercakap di Parlimen, atau dipanggil keistimewaan Parlimen, sekiranya menganjurkan penghapusan kedudukan berperlembagaan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Utama Negara bagi Persekutuan atau kedudukan berperlembagaan raja sesuatu negeri. Kiasannya juga saya dapat ceduk daripada pindaan 2012 kepada Kanun Keseksaan yang menjenayahkan sebarang aktiviti yang menjurus ke arah menjatuhkan demokrasi berparlimen.
Kita boleh merujuk kepada Seksyen 124A dan 130A Kanun Keseksaan. Saya sebutkan kiasan kerana negara kita mengamalkan prinsip dua serangkai, iaitu Demokrasi Berparlimen dan pada masa sama kita juga mengamalkan Raja Berperlembagaan. Sekiranya kita mempunyai peruntukan khusus menjenayahkan aktiviti menjurus kepada pemansuhan demokrasi berparlimen, peruntukan yang sama juga kita harus wujudkan bagi menjamin kelangsungan prinsip dan amalan Raja Berperlembagaan yang dikembarkan dengan demokrasi berparlimen itu. Keduanya, diperlukan juga undang-undang khusus berkaitan penghinaan terhadap institusi raja dan juga batang tubuh raja. Perlu juga undang-undang bagi perkara-perkara yang difahami sebagai menghina titah raja yang disandarkan kepada kuasa baginda yang sah di sisi Perlembagaan. Ketiganya, kita perlu membuat peruntukan khusus mengenai penyamaran atau pemalsuan raja. Pemalsuan atau penyamaran sebagai raja atau waris-waris raja. Termasuk juga darjah-darjah kehormatan diraja. Walaupun undang-undang sedia ada tidak menghalang rakyat daripada tidak bersetuju dengan raja-raja kecuali dalam hal mempersoalkan hal-hal atau perkara-perkara berkaitan hak, taraf, kedudukan keistimewaan, kedaulatan atau prerogatif yang ditetapkan berkaitan kewarganegaraan, bahasa Melayu, keistimewaan Melayu atau berkaitan, proses penyiasatan dan pelaksanaan undang-undang umum ini agak sukar dilakukan.
Ia akan menjadi lebih mudah kepada pihak pendakwaan memfokus dan membuktikan kesalahan yang didakwa. Ditambah pula peruntukan yang tidak dikhususkan itu. Perlu juga ditekankan bahawa, sekiranya kita mempunyai undang-undang yang baik, tetapi sukar dalam pelaksanaannya maka undang-undang tersebut tidak akan dapat mencapai matlamat sebenar ia diperkenalkan. Sekiranya kita mempunyai undang-undang yang indah dan cantik di atas kertas, tetapi penguatkuasaannya tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna dan bersungguh-sungguh maka undang-undang tersebut menjadi sia-sia. Kita tidak mahu pihak legislatif di Parlimen kita kemudian hari dilihat sebagai tidak berwibawa.
Apakah profesor melihat cadangan beberapa pihak supaya pengendali media sosial dan portal berita perlu diberi lesen seperti di Singapura untuk membendung budaya fitnah dan hasutan dari berleluasa sebagai jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah ini?
SHAMRAHAYU: Sekiranya kita meletakkan syarat lesen atau permit saya fikir kita akan lihat kekusutan yang mungkin timbul dalam hal berkaitan kebebasan dan hak asasi. Kita faham akan hasrat pihak-pihak yang mahukan kebebasan dan meletakkan demokrasi itu semata-mata atas tiket kebebasan. Seperti yang kita maklum, dalam program transformasi yang dilaksanakan Perdana Menteri seperti mahu memenuhi hasrat kebebasan itu. Dalam perkembangan mutakhir berkaitan lesen atau permit penerbitan, undang-undang berkaitan lesen dan penerbitan telah dilonggarkan dengan pindaan ke atas Akta Mesin Cetak 1984. Dengan itu agak jelas, negara kita bersifat lebih terbuka dalam soal kebebasan berbanding sesetengah negara jiran.
Berkaitan, pada tahun 2012 contohnya kita pernah meminda Akta Keterangan dengan memasukkan Seksyen 114A yang meletakkan andaian bahawa pemilik, pengendali, hos, editor pelanggan sesebuah rangkaian atau laman sesawang atau pemilik komputer atau peralatan mudah alih dianggap bertanggungjawab menyiarkan atau mengulang siar isi kandungan yang terdapat pada rangkaian, laman sesawang, atau peralatan terbabit.
Antara lain, tujuan pindaan ini ialah untuk memudahkan pihak penguatkuasa mengenal pasti individu yang bertanggungjawab ke atas penyiaran atau penyebaran perkara berbaur hasutan dalam talian. Pindaan ini mendapat tentangan pelbagai pihak dan dianggap sekatan ke atas kebebasan. Tetapi pada fikiran saya, Seksyen 114A ini jauh lebih baik daripada sekatan seperti lesen penerbitan. Apapun, kita masih terbuka dalam hal berkaitan kebebasan dan saya fikir kita hendaklah menghargai kebebasan yang kita ada dan perlu menjaga tatasusila di laman sesawang. Namun begitu, kita mungkin memerlukan peraturan serupa umpama lesen atau permit sekiranya melibatkan informasi menyeleweng berkaitan negara kita yang disiarkan warga dunia lain sehingga mendatangkan mudarat kepada negara. Peraturan ini boleh dijadikan sebagai penapis kepada informasi palsu atau fitnah kepada negara. Malah, sekiranya warga Malaysia sendiri gagal menghargainya, kita terpaksa mengekang kebebasan di alam maya dengan lesen atau permit.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan