ANARKI dalam bahasa mudahnya ialah keadaan yang tidak tertib, luar
daripada kelaziman dan cenderung kepada perubahan tanpa mengikut urutan
sejarah dan budaya malah agama. Daripada perspektif Barat ia adalah
pancaran faham liberalis dan pluralis.
Kebebasan yang cuba diamalkan oleh faham ini amat melampau. Ia
menjerumuskan generasi muda yang jahil tentang perjalanan sejarah dan
budaya dalam arah perubahan tanpa arah. Ia bakal merosakkan premis
kemasyarakatan dan kenegaraan yang dibina.
Hak asasi yang mereka tuntut tidak dalam acuan kita tetapi lebih
banyak mengutip jalur luar yang tidak serasi dengan cita rasa setempat
dan agama. Ia bersifat nafsu nafsi tanpa landasan akal dan iman yang
kukuh.
Tindakan Anwar Ibrahim berucap di majlis Sambutan Kemerdekaan di Shah
Alam dengan menafikan kehadiran Sultan Selangor adalah gambaran faham
'anarki' yang dibawa. Rasa malu dan segan sudah hilang. Sebaliknya ia
menimbulkan kemarahan banyak pihak dan Anwar mendukung teori konflik
supaya dia mendapat perhatian dan perlakuannya menentang kelaziman mahu
dilihat sebagai suatu keberanian.
Hal yang sama berlaku di Dataran Merdeka dalam Himpunan Janji Bersih
gambar pemimpin negara dipijak dan dihina dan pengibaran bendera Sang
Saka Malaya dikibarkan. Ia jelas suatu tindakan yang 'anarki'.
Anwar tahu apa yang berlaku tetapi tidak membuat komen yang menggambarkan bahasa adab, kesantunan dan kesusilaan.
Sebaliknya Nik Aziz mengeluarkan kenyataan yang lebih beradab
mengenai peristiwa itu. Sekali lagi generasi muda diperangkap dengan
tindakan di luar batas yang tentunya didorong oleh faham 'anarki'.
Sehingga kini terdapat lebih 450 laporan di balai polis membantah apa
yang berlaku. Peristiwa menggantikan Jalur Gemilang dengan Sang Saka
Malaya menyebabkan masyarakat sangat marah dan rasa terhina.
Anwar dengan tabiat berpolitiknya mengharapkan dukungan generasi
muda. Anwar kena ingat tidak semua generasi muda jahil dan tidak tahu
urutan sejarah dan budaya negara. Kalau dengan berbuat cara melampau itu
dia mengharapkan dukungan yang lebih ramai ia adalah sesuatu yang
meleset.
Bagi kelompok hardcore atau penyokong yang taksub kepada Anwar
jumlahnya tidak besar. Kelompok ini ibarat direndam tak basah dan
dibakar tak hangus akan tetap mendukung Anwar baik atau buruk.
Tetapi Anwar kena ingat masyarakat bukan hardcore terus memerhati
gelagat beliau. Golongan simpatisen dan atas pagar yang jumlah jauh
lebih besar akan berfikir dua kali selepas peristiwa itu.
Peristiwa di Selangor memberi pertunjuk mengenai kecenderungannya
membangun sebuah negara Republik. Mencetuskan penghinaan kepada
institusi Raja dan menghina Jalur Gemilang simbolik kesetiaan
rakyat kepada negara, menghina gambar pemimpin bukanlah suatu cara yang
baik untuk menjadi teladan orang-orang muda.
Anwar semasa memimpin ABIM mendidik ahlinya tentang pentingnya adab.
Tema ucapannya selalu mementingkan kefahaman terhadap nilai-nilai baik
dalam tradisi orang Melayu dan kemurniaan adab yang dianjurkan oleh
Islam.
Anwar semasa terlibat dalam UMNO juga pada umumnya mempunyai sifat
yang lazimnya boleh diterima oleh masyarakat. Tetapi sekarang ini
cita-citanya untuk ke Putrajaya mengambil alih kuasa dan ingin menjadi
Perdana Menteri terlalu tinggi menyebabkan Anwar kehilangan arah dan
pedoman.
Apa saja yang dilakukan mengundang kontroversi. Baginya lebih banyak
kontroversi yang dilakukan lagi baik kerana anggapannya ia boleh
mengundang perhatian dan sokongan. Tanggapan ini adalah tidak benar.
Lebih banyak kontroversi di luar adab dan tertib kenegaraan, lebih
banyak pula penentangan terhadap beliau dan gerak kerja politik yang
dibawanya.
Anwar kena faham tidak semua orang boleh diperbodohkan dalam setiap
masa dan sebahagian besar masyarakat Malaysia adalah orang yang
memerhati gelagat pemimpin.
Kalau gelagat pemimpin ingin menyemai sifat biadab dan kurang ajar
kepada sejarah dan perjalanan budaya ia akan ditolak. Kalau pemimpin
ingin menukar negara ini kepada republik ia tidak semudah retorik.
Apakah ini petanda kebesaran Allah yang sedang ditunjukkan bahawa
gelagat yang sedang dipaparkan menimbulkan kemarahan dan kebencian ramai
orang dan ia tidak baik bagi sokongan politik khalayak.
Anwar orang politik. Sekiranya ia lari daripada kelaziman amalan yang
bercanggah dengan adab dan ketertiban yang selama ini beliau dukung
dalam ABIM, ia memberi petanda buruk terhadap hari depannya.
Anwar mungkin boleh bercita-cita untuk ke Putrajaya dan melakukan
gerak kerja politik yang menongkah arus tetapi Anwar kena faham
segala-gala itu tertakluk kepada ketentuan Allah. Allah Maha Mengetahui
niat seseorang itu. Moga-moga Allah melindungi Malaysia menghadapi
bencana politik yang merugikan umat.
/hwa: utusan.com.my | 12/9/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan