KELMARIN Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Mohd. Nasir Ibrahim Fikri
berada di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur untuk memberi taklimat
perkembangan bahagiannya, UMNO Bahagian Kuala Nerus kepada Ibu Pejabat
parti.
Sebenarnya belum pernah ia dilakukan sebelum ini. Sebelum Pilihan
Raya Umum 2008 pun tidak ada. Ia pertama kali. Ini menandakan UMNO Pusat
benar-benar serius mahukan ahli partinya termasuk kepimpinan peringkat
bahagian benar-benar bersiap-siaga membina bahagian yang lebih 190 itu
untuk menghadapi PRU-13. Ibu pejabat UMNO diketuai Datuk Tengku Adnan
Tengku Mansor dikatakan setakat ini telah memanggil sekurang-kurangnya
50 ketua bahagian untuk urusan itu setakat ini.
Ya, hari ini (kelmarin) cuma bahagian saya," kata Mohd. Nasir kepada kami yang disertai jurugambar, Mohd. Noor Mat Amin.
Mohd. Nasir, 55, anak kepada Menteri Besar Terengganu era parti
Perikatan, Allahyarham Tan Sri Ibrahim Fikri Mohamad senada dengan
pandangan Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa Barisan Nasional (BN) mampu
meraih majoriti dua pertiga pada PRU-13. Ia, bagaimanapun, tegas bekas
Perdana Menteri itu, asalkan jika ahli-ahli parti berkenaan memiliki
pemikiran yang waras. Pemikiran waras yang dimaksudkan ialah mereka
tidak mensabotaj parti hanya kerana tidak berpuas hati dengan calon yang
dipilih.
Terengganu sama seperti negeri-negeri lain, menjadi perhatian BN
Pusat untuk dikekalkan mandat memerintah daripada rakyat negeri itu.
Pagi ini, Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun
Razak berada di Setiu. Antara tujuannya adalah mendapatkan perkembangan
lebih dekat akan persiapan jentera parti termasuk menyertai majlis rumah
Terbuka Hari Raya bersama rakyat negeri itu.
Uniknya rakyat Terengganu ini atau maksud saya pengundi Terengganu,
mereka tidaklah taksub macam di negeri tertentu. Pada pilihan raya
pertama Persekutuan Tanah Melayu pada 1959, Perikatan di Terengganu
kalah pada Pas tapi pada 1961, kita boleh dapat balik dengan undi tidak
percaya dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).
Pada 1999, kita kalah 28 kerusi tapi pada 2004, kita dapat balik 28
kerusi itu. Dan ketika tsunami politik menyaksikan lima negeri lain
tewas, kita di Terengganu masih dapat kekalkan mandat rakyat.
Kita kalah pada 1999 pun disebabkan oleh orang UMNO tidak mengundi
calon UMNO. Mereka bosan apabila diuarkan-uarkan cadangan untuk
menggantikan Menteri Besar waktu itu, tidak juga dilakukan sehinggalah
ke tarikh pilihan raya. Waktu itu pegawai-pegawai kerajaan pun sudah
bosan dengan perkara ini ... masih tidak berganti, dan akibatnya kita
diajar waktu itu," katanya.
Berkeyakinan yang Terengganu mampu dikekalkan oleh BN pada pilihan
raya umum akan datang ini, Mohd. Nasir yang juga Ketua Penerangan
Perhubungan UMNO negeri itu dari tahun 2000-2004 bagaimanapun
mengingatkan tentang kerja keras yang berterusan perlu dilipatgandakan
untuk menjamin keyakinan itu.
Dari segi BN Terengganu, apabila kita menang pada 2008, kita ada
kalanya nampak agak defensif, kita tidak ofensif sampai ada ketikanya di
sesetengah kawasan, bila Pas attack, kita kena defend pula sedangkan
kita boleh attack.
Dan saya ingat lagi tempoh hari (1999-2004) kita jadi pembangkang,
kita perhebatkan perbincangan di peringkat DUN, bahagian dan negeri.
Kita salurkan apa yang tidak puas hati ke peti-peti undi manakala
penceramah pun kita pilih. Dan yang best sekali ialah penceramah local
yang dipilih bukanlah satu nama besar tapi memiliki kupasan isu yang
baik. Antaranya, kita bangkitkan soal isu-isu yang dekat dengan
rakyat...kenapa jambatan tak siap, wakil rakyat ni pergi mana dan macam
mana khidmatnya.
Sebab itu apabila di Selangor menyaksikan gelombang besar,
Terengganu yang dikatakan akan jatuh juga, tidak terjejas," kata beliau.
Ditanya apa antara isu yang perlu diselesaikan oleh kepemimpinan
negeri di Terengganu, Mohd. Nasir berkata, setakat ini tidak ada isu
pembangunan yang kritikal di negeri itu. Bagaimanapun beliau menarik
perhatian mengenai keperluan menjaga hati dan perasaan pegawai-pegawai
kerajaan. Ini memandangkan timbul cakap-cakap mengenai isu Ketua
Menteri Besar. Juga, digembar-gemburkan ada segelintir individu yang
dikatakan lebih berkuasa dalam pentadbiran negeri. Ia sehinggakan timbul
cakap-cakap di belakang, antaranya segelintir individu dikatakan
melangkaui tangga jawatan meninggalkan mereka yang lebih senior.
Ia samalah seperti pada 1999 apabila sesetengah orang dalam
kerajaan tidak puas hati dengan MB yang masih belum berganti. Para
pegawai dan kakitangan kerajaan di Terengganu agak signifikan
pengaruhnya dalam menentukan kemenangan sesuatu parti politik. Apabila
Pas ambil alih, orang-orang mereka begitu rakus mengambil alih kuasa dan
membuang pegawai-pegawai yang dilantik sebelum itu oleh pentadbiran BN.
Tetapi BN waktu ambil pada 2004, kita ambil juga pegawai-pegawai
yang dilantik masa Pas memerintah, tak semua yang tidak bagus. Inilah
yang cuba saya kongsikan sebab orang dalam kerajaan ini apatah lagi
kakitangan sokongan seperti kerani, mereka ini ibarat gatekeeper untuk
orang kampung bertanyakan masalah setempat. Ia termasuklah soal yang
sekecil-kecilnya seperti membantu mengisi borang permohonan tanah dan
sebagainya. Apa yang mereka saksikan dan isu-isu yang berlegar di
jabatan mereka, itulah yang akan diceritakan kepada rakyat terutama
pengundi, yang kemudian akan memangkah di kertas undi," katanya.
Mengenai isu pemilihan calon, Mohd. Nasir memberitahu, beliau
berharap mereka yang lama bergelumang dengan sepak terajang parti dan
masak dengan pengalaman diberi kepercayaan untuk menggalas cabaran BN
pada PRU-13 nanti.
Pernah Menteri Besar ketika itu (Datuk Seri Idris Jusoh) kata nah
calon ni muka baru ada Master (sarjana) dan gerenti boleh menang. Namun,
saya nyatakan kepada beliau, saya pun ada master juga, sejak 1981 lagi.
Tetapi bila pilihan raya, calon tu kalah. Yang penting, kita mesti
tengok sedalam mana seseorang itu komited untuk parti, tidak kiralah dia
orang muda, jika dia layak, apa salahnya," katanya.
Mohd. Nasir merupakan satu-satunya Ketua UMNO Bahagian yang
mengumumkan senarai nama calon secara terbuka termasuk kriterianya untuk
kesemua empat kerusi DUN dalam kawasan Parlimen Kuala Nerus, apabila
diminta mengemukakan senarai itu oleh Ibu Pejabat parti baru-baru ini.
Ada bahagian tu, mereka rahsiakan dan buat undi sulit, tapi bagi
saya perkara ini buat apa kita rahsiakan sebab rakyat sendiri pun tak
tahu juga. Selain nama-nama mereka saya umumkan kepada media, saya juga
gariskan kriterianya. Antaranya, mesti ada kesanggupan untuk jadi wakil
rakyat, jangan nak jadi YB kerana nak kaut kekayaan," kata beliau.
Ketika ini kerajaan negeri di bawah Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad
Said sedang merancang untuk mewujudkan satu daerah baru di Kuala Nerus.
Dengan 170,000 penduduk, Kuala Nerus layak diiktiraf sebuah daerah baru.
Namun, seperti mana kata Mohd. Nasir tadi, kepemimpinan BN negeri termasuklah di Terengganu sendiri yang menerima kunjungan
Perdana Menteri pagi ini perlu serius mendepani PRU-13. Barang yang hilang biasanya sukar untuk dikembalikan, bisik Mohd. Nasir.
/hwa: utusan.com.my | 6/9/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan