9 September 2012

Terengganu boleh menang, asalkan...

KELMARIN Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Mohd. Nasir Ibrahim Fikri berada di Menara Dato’ Onn, Kuala Lumpur untuk memberi taklimat perkembangan bahagiannya, UMNO Bahagian Kuala Nerus kepada Ibu Pejabat parti.
Sebenarnya belum pernah ia dilakukan sebelum ini. Sebelum Pilihan Raya Umum 2008 pun tidak ada. Ia pertama kali. Ini menandakan UMNO Pusat benar-benar serius mahukan ahli partinya termasuk kepimpinan peringkat bahagian benar-benar bersiap-siaga membina bahagian yang lebih 190 itu untuk menghadapi PRU-13. Ibu pejabat UMNO diketuai Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor dikatakan setakat ini telah memanggil sekurang-kurangnya 50 ketua bahagian untuk urusan itu setakat ini.
“Ya, hari ini (kelmarin) cuma bahagian saya," kata Mohd. Nasir kepada kami yang disertai jurugambar, Mohd. Noor Mat Amin.
Mohd. Nasir, 55, anak kepada Menteri Besar Terengganu era parti Perikatan, Allahyarham Tan Sri Ibrahim Fikri Mohamad senada dengan pandangan Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa Barisan Nasional (BN) mampu meraih majoriti dua pertiga pada PRU-13. Ia, bagaimanapun, tegas bekas Perdana Menteri itu, asalkan jika ahli-ahli parti berkenaan memiliki pemikiran yang waras. Pemikiran waras yang dimaksudkan ialah mereka tidak mensabotaj parti hanya kerana tidak berpuas hati dengan calon yang dipilih.
Terengganu sama seperti negeri-negeri lain, menjadi perhatian BN Pusat untuk dikekalkan mandat memerintah daripada rakyat negeri itu. Pagi ini, Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak berada di Setiu. Antara tujuannya adalah mendapatkan perkembangan lebih dekat akan persiapan jentera parti termasuk menyertai majlis rumah Terbuka Hari Raya bersama rakyat negeri itu.
“Uniknya rakyat Terengganu ini atau maksud saya pengundi Terengganu, mereka tidaklah taksub macam di negeri tertentu. Pada pilihan raya pertama Persekutuan Tanah Melayu pada 1959, Perikatan di Terengganu kalah pada Pas tapi pada 1961, kita boleh dapat balik dengan undi tidak percaya dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Pada 1999, kita kalah 28 kerusi tapi pada 2004, kita dapat balik 28 kerusi itu. Dan ketika ‘tsunami politik’ menyaksikan lima negeri lain tewas, kita di Terengganu masih dapat kekalkan mandat rakyat.
“Kita kalah pada 1999 pun disebabkan oleh orang UMNO tidak mengundi calon UMNO. Mereka bosan apabila diuarkan-uarkan cadangan untuk menggantikan Menteri Besar waktu itu, tidak juga dilakukan sehinggalah ke tarikh pilihan raya. Waktu itu pegawai-pegawai kerajaan pun sudah bosan dengan perkara ini ... masih tidak berganti, dan akibatnya kita ‘diajar’ waktu itu," katanya.
Berkeyakinan yang Terengganu mampu dikekalkan oleh BN pada pilihan raya umum akan datang ini, Mohd. Nasir yang juga Ketua Penerangan Perhubungan UMNO negeri itu dari tahun 2000-2004 bagaimanapun mengingatkan tentang kerja keras yang berterusan perlu dilipatgandakan untuk menjamin keyakinan itu.
“Dari segi BN Terengganu, apabila kita menang pada 2008, kita ada kalanya nampak agak defensif, kita tidak ofensif sampai ada ketikanya di sesetengah kawasan, bila Pas ‘attack’, kita kena defend pula sedangkan kita boleh ‘attack’.
“Dan saya ingat lagi tempoh hari (1999-2004) kita jadi pembangkang, kita perhebatkan perbincangan di peringkat DUN, bahagian dan negeri. Kita salurkan apa yang tidak puas hati ke peti-peti undi manakala penceramah pun kita pilih. Dan yang best sekali ialah penceramah local yang dipilih bukanlah satu nama besar tapi memiliki kupasan isu yang baik. Antaranya, kita bangkitkan soal isu-isu yang dekat dengan rakyat...kenapa jambatan tak siap, wakil rakyat ni pergi mana dan macam mana khidmatnya.
“Sebab itu apabila di Selangor menyaksikan ‘gelombang besar’, Terengganu yang dikatakan akan jatuh juga, tidak terjejas," kata beliau.
Ditanya apa antara isu yang perlu diselesaikan oleh kepemimpinan negeri di Terengganu, Mohd. Nasir berkata, setakat ini tidak ada isu pembangunan yang kritikal di negeri itu. Bagaimanapun beliau menarik perhatian mengenai keperluan menjaga hati dan perasaan pegawai-pegawai kerajaan. Ini memandangkan timbul cakap-cakap mengenai isu ‘Ketua Menteri Besar’. Juga, digembar-gemburkan ada segelintir individu yang dikatakan lebih berkuasa dalam pentadbiran negeri. Ia sehinggakan timbul cakap-cakap di belakang, antaranya ‘segelintir individu dikatakan melangkaui tangga jawatan meninggalkan mereka yang lebih senior’.
“Ia samalah seperti pada 1999 apabila sesetengah orang dalam kerajaan tidak puas hati dengan MB yang masih belum berganti. Para pegawai dan kakitangan kerajaan di Terengganu agak signifikan pengaruhnya dalam menentukan kemenangan sesuatu parti politik. Apabila Pas ambil alih, orang-orang mereka begitu rakus mengambil alih kuasa dan membuang pegawai-pegawai yang dilantik sebelum itu oleh pentadbiran BN.
“Tetapi BN waktu ambil pada 2004, kita ambil juga pegawai-pegawai yang dilantik masa Pas memerintah, tak semua yang tidak bagus. Inilah yang cuba saya kongsikan sebab orang dalam kerajaan ini apatah lagi kakitangan sokongan seperti kerani, mereka ini ibarat ‘gatekeeper’ untuk orang kampung bertanyakan masalah setempat. Ia termasuklah soal yang sekecil-kecilnya seperti membantu mengisi borang permohonan tanah dan sebagainya. Apa yang mereka saksikan dan isu-isu yang berlegar di jabatan mereka, itulah yang akan diceritakan kepada rakyat terutama pengundi, yang kemudian akan memangkah di kertas undi," katanya.
Mengenai isu pemilihan calon, Mohd. Nasir memberitahu, beliau berharap mereka yang lama bergelumang dengan sepak terajang parti dan ‘masak’ dengan pengalaman diberi kepercayaan untuk menggalas cabaran BN pada PRU-13 nanti.
“Pernah Menteri Besar ketika itu (Datuk Seri Idris Jusoh) kata nah calon ni muka baru ada Master (sarjana) dan gerenti boleh menang. Namun, saya nyatakan kepada beliau, saya pun ada master juga, sejak 1981 lagi. Tetapi bila pilihan raya, calon tu kalah. Yang penting, kita mesti tengok sedalam mana seseorang itu komited untuk parti, tidak kiralah dia orang muda, jika dia layak, apa salahnya," katanya.
Mohd. Nasir merupakan satu-satunya Ketua UMNO Bahagian yang mengumumkan senarai nama calon secara terbuka termasuk kriterianya untuk kesemua empat kerusi DUN dalam kawasan Parlimen Kuala Nerus, apabila diminta mengemukakan senarai itu oleh Ibu Pejabat parti baru-baru ini.
“Ada bahagian tu, mereka rahsiakan dan buat undi sulit, tapi bagi saya perkara ini buat apa kita rahsiakan sebab rakyat sendiri pun tak tahu juga. Selain nama-nama mereka saya umumkan kepada media, saya juga gariskan kriterianya. Antaranya, mesti ada kesanggupan untuk jadi wakil rakyat, jangan nak jadi YB kerana nak kaut kekayaan," kata beliau.
Ketika ini kerajaan negeri di bawah Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said sedang merancang untuk mewujudkan satu daerah baru di Kuala Nerus. Dengan 170,000 penduduk, Kuala Nerus layak diiktiraf sebuah daerah baru.
Namun, seperti mana kata Mohd. Nasir tadi, kepemimpinan BN negeri termasuklah di Terengganu sendiri yang menerima kunjungan
Perdana Menteri pagi ini perlu serius mendepani PRU-13. Barang yang hilang biasanya sukar untuk dikembalikan, bisik Mohd. Nasir.
/hwa: utusan.com.my | 6/9/12

Tiada ulasan: