Pages

14 Oktober 2012

Nizar didesak jelas dakwaan

IPOH 12 Okt. - Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin didesak tampil menjelaskan dakwaan salah guna kuasa membabitkan beliau ketika menjadi Menteri Besar pada 2008 seperti yang didedahkan sebuah blog semalam.
Presiden Gagasan Melayu Perak (GMP), Datuk Seri Mohd. Hilmi Ismail berkata, Mohammad Nizar tidak wajar membuat penafian sahaja dan menuduhnya sebagai pembohongan sebaliknya perlu memberi penjelasan konkrit memandangkan dakwaan itu sangat serius.
‘‘Saya lihat pendedahan itu disertakan dengan dokumen yang ada di dalamnya tulisan serta tandatangan Mohammad Nizar sendiri. Melihat isi kandungan dan tatacaranya sahaja sudah nampak seolah-olah ada yang tidak kena.
‘‘Surat itu pula datang daripada pejabat beliau sendiri sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang. Justeru, dalam hal ini saya fikir beliau perlu tampil memberi penjelasan bukan hanya membuat penafian," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas pendedahan sebuah blog budakbenteng.blogspot.com yang memuat naik dokumen berupa surat sokongan yang dikeluarkan oleh pejabat Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang berhubung permohonan sebuah syarikat bagi melaksanakan projek menaik taraf jalan di Lekir dekat sini.
Surat permohonan yang ditandatangani oleh Pegawai Khas Mohammad Nizar sendiri, Hamidun Ahmad antara lain menyebut: ‘‘Pihak pentadbiran ini mengesyorkan SIPCOMZU ENTERPRISE beralamat di No. 61 Persiaran Venice Sutera 1, Desa Manjung Raya, 32200, Lumut untuk menjalankan kerja-kerja tersebut sebagaimana yang dikehendaki."
Pada ruang sebelah kanan surat itu tertera nota ditandatangani Mohammad Nizar dengan cop Menteri Besar Perak Darul Ridzuan yang berbunyi: ‘‘Pengarah UPEN, harap proses."
Mohammad Nizar dalam reaksinya semalam memberitahu, beliau tidak tahu menahu mengenai pendedahan tersebut tetapi yakin ia adalah satu pembohongan.
Mohd. Hilmi turut menyokong gesaan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dakwaan tersebut supaya tidak dilihat pilih bulu dalam mengambil tindakan.
Sementara itu, Yang Dipertua Pertubuhan Pribumi Malaysia (Perkasa) Perak, Md. Yusuf Alang Ahmad berkata, Mohammad Nizar seharusnya bersikap ‘gentleman’ dan tidak hanya pandai menggunakan pentas ceramah membuat tuduhan kononnya pemimpin kerajaan korup.
‘‘Apabila sudah terkena muka sendiri, tidak wajarlah kalau sekadar lepas tangan dan mengatakan ia pembohongan. Saya rasa surat yang didedahkan sudah mempunyai asas yang kuat untuk beliau membuat penjelasan," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan