IPOH 12 Okt. - Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak, Datuk Seri Mohammad
Nizar Jamaluddin didesak tampil menjelaskan dakwaan salah guna kuasa
membabitkan beliau ketika menjadi Menteri Besar pada 2008 seperti yang
didedahkan sebuah blog semalam.
Presiden Gagasan Melayu Perak (GMP), Datuk Seri Mohd. Hilmi Ismail
berkata, Mohammad Nizar tidak wajar membuat penafian sahaja dan
menuduhnya sebagai pembohongan sebaliknya perlu memberi penjelasan
konkrit memandangkan dakwaan itu sangat serius.
Saya lihat pendedahan itu disertakan dengan dokumen yang ada di
dalamnya tulisan serta tandatangan Mohammad Nizar sendiri. Melihat isi
kandungan dan tatacaranya sahaja sudah nampak seolah-olah ada yang tidak
kena.
Surat itu pula datang daripada pejabat beliau sendiri sebagai Ahli
Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang. Justeru, dalam hal ini saya
fikir beliau perlu tampil memberi penjelasan bukan hanya membuat
penafian," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas pendedahan sebuah blog
budakbenteng.blogspot.com yang memuat naik dokumen berupa surat sokongan
yang dikeluarkan oleh pejabat Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri
(ADUN) Pasir Panjang berhubung permohonan sebuah syarikat bagi
melaksanakan projek menaik taraf jalan di Lekir dekat sini.
Surat permohonan yang ditandatangani oleh Pegawai Khas Mohammad Nizar
sendiri, Hamidun Ahmad antara lain menyebut: Pihak pentadbiran ini
mengesyorkan SIPCOMZU ENTERPRISE beralamat di No. 61 Persiaran Venice
Sutera 1, Desa Manjung Raya, 32200, Lumut untuk menjalankan kerja-kerja
tersebut sebagaimana yang dikehendaki."
Pada ruang sebelah kanan surat itu tertera nota ditandatangani
Mohammad Nizar dengan cop Menteri Besar Perak Darul Ridzuan yang
berbunyi: Pengarah UPEN, harap proses."
Mohammad Nizar dalam reaksinya semalam memberitahu, beliau tidak tahu
menahu mengenai pendedahan tersebut tetapi yakin ia adalah satu
pembohongan.
Mohd. Hilmi turut menyokong gesaan Menteri Besar, Datuk Seri Dr.
Zambry Abd. Kadir supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
menyiasat dakwaan tersebut supaya tidak dilihat pilih bulu dalam
mengambil tindakan.
Sementara itu, Yang Dipertua Pertubuhan Pribumi Malaysia (Perkasa)
Perak, Md. Yusuf Alang Ahmad berkata, Mohammad Nizar seharusnya bersikap
gentleman dan tidak hanya pandai menggunakan pentas ceramah membuat
tuduhan kononnya pemimpin kerajaan korup.
Apabila sudah terkena muka sendiri, tidak wajarlah kalau sekadar
lepas tangan dan mengatakan ia pembohongan. Saya rasa surat yang
didedahkan sudah mempunyai asas yang kuat untuk beliau membuat
penjelasan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan