6 April 2008

Kubica mula petak pertama


BERSAING... Pelumba BMW Sauber, Robert Kubica (tengah) meraikan kejayaan meraih petak depan pertama dalam kariernya selepas mencatat masa terpantas pada sesi kelayakan GP Bahrain di Litar Sakhir, Manama, semalam. Pelumba Ferrari, Felipe Massa (kanan) pula bakal memulakan perlumbaan sebenar pusingan ketiga musim 2008 hari ini di petak kedua manakala pelumba McLaren Mercedes, Lewis Hamilton di petak ketiga. – AFP
SAKHIR, Bahrain – Robert Kubica dari pasukan BMW Sauber mengetepikan pelumba Ferrari, Felipe Massa untuk menduduki petak pertama pada perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix Bahrain, hari ini.
Kubica, pelumba F1 pertama dari Poland, menamatkan monopoli pasukan Ferrari dan McLaren yang menguasai petak pertama sejak 22 perlumbaan lalu.
Kejayaan Fernando Alonso menduduki petak pertama untuk Renault di GP China pada Oktober 2006 merupakan perlumbaan terakhir yang diraih oleh pasukan lain yang sebelum itu hanya diraih oleh Ferrari dan McLaren.
Pendahulu keseluruhan Lewis Hamilton dari McLaren pula akan memulakan perlumbaan dari petak ketiga hari ini, manakala Kimi Raikkonen di petak keempat pada sesi kelayakan semalam untuk pasukan Ferrari.
Pelumba McLaren, Heikki Kovalainen turut mencatat nama pada kedudukan lima teratas bagi perlumbaan di Litar Antarabangsa Bahrain itu.
Kubica mencatat masa 1 minit 33.096 saat ketika sesi kelayakan terakhir berbaki 10 minit.
Massa, yang mencatat masa terpantas pada sesi latihan bebas kelmarin, terpaksa berpuas hati di tempat kedua apabila hanya mencatat kepantasan 1:33. 123s.
Kubica yang mengumpul lapan mata kategori pelumba, menamatkan GP Malaysia dua minggu lalu di tempat kedua.
Hamilton masih mendahului senarai pelumba dengan 14 mata, tiga mata mengatasi juara dunia, Raikkonen dan Nick Heidfeld dari BMW Sauber. Heidfeld mencatat masa keenam terpantas pada sesi kelayakan semalam.
Pelumba Toyota, Jarno Trulli; Nico Rosberg dari pasukan Williams; Jenson Button yang memandu Honda dan Alonso menduduki petak sepuluh teratas.
Massa yang belum meraih sebarang mata selepas dua perlumbaan, ‘terperangkap’ di celah-celah kereta pelumba lain ketika dia hendak keluar dari pit untuk melakukan pusingan kelayakan terakhir semalam.
Pelumba Brazil itu yang merangkul petak pertama di sini tahun lalu sebelum memenanginya, juga bermula di petak depan pada GP Malaysia namun gagal menamatkan perlumbaan selepas terbabas.
Sementara itu, semua pasukan mengurangkan penggunaan minyak dan menggunakan tayar yang lebih lembut pada sesi kelayakan kedua semalam apabila suhu litar mencecah 44 darjah celsius.
Namun apabila cuaca mula mendung dan suhu litar menurun pada sesi terakhir, semua pasukan terpaksa menukar strategi.
Ketiadaan sistem kawalan cengkaman menyebabkan para pelumba terpaksa lebih berhati-hati ketika memecut di selekoh di litar tersebut.
Hamilton yang mengungguli perlumbaan pembukaan GP Australia, gagal mencatat masa terbaik pada pembukaan sesi kelayakan selepas mengalami kemalangan pada sesi latihan bebas kelmarin.
Pelumba berusia 23 tahun dari Britain itu kehilangan kawalan ketika melalui selekoh tajam sebelum keretanya merempuh penghadang.
Krew McLaren terpaksa bertungkus lumus sepanjang malam untuk memperbaiki kerosakan keretanya.
– AP 6 April 2008

Tiada ulasan: