IPOH: Pemimpin yang ingin bertanding untuk merebut jawatan tertinggi dalam Umno seharusnya tidak perlu takut dengan sistem kuota jika mereka mempunyai pengaruh kuat dan mendapat sokongan padu daripada semua pihak.Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, berkata mereka boleh menilai sendiri pengaruh mereka dan jika tidak mempunyai sokongan padu pada peringkat akar umbi, mereka tidak wajar mempersoalkan soal sistem kuota."Kita tidak boleh sewenang-wenangnya mengubah cara pentadbiran parti separuh jalan. Jadi, kuota tertentu bagi bertanding jawatan tertinggi khususnya bagi Ahli Majlis Tertinggi (MT) harus dikekalkan," katanya pada sidang media selepas menyampaikan bantuan kepada 293 mangsa banjir penduduk daerah Kinta di Dewan Serbaguna Sungai Tapah di sini, semalam.Jumaat lalu, Ketua Umno Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah mengadakan mesyuarat khas di bahagiannya yang mendesak Umno mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) bagi membincangkan prestasi parti itu pada Pilihan Raya Umum 8 Mac lalu dan memansuhkan sistem kuota bagi pemilihan pucuk pimpinan.tertinggi, selain meminda 20 perkara yang termaktub dalam perlembagaan parti. Difahamkan, setakat ini hanya dua daripada 195 bahagian termasuk Gua Musang yang ingin memansuhkan sistem kuota itu.Umno Cheras akan mengadakan EGM pada 27 April ini bertujuan untuk membincangkan sama ada relevan atau tidak memansuhkan sistem kuota serta isu berkaitan kepimpinan dan masa depan parti berkenaan.Nazri yang juga Ahli MT berkata, segala perubahan dalam parti seharusnya hanya dilakukan setelah selesai pemilihan parti pada Disember ini."Majoriti ahli Umno di negeri ini sentiasa memberi sokongan penuh tidak berbelah bahagi kepada pucuk pimpinan dan EGM tidak perlu diadakan seperti yang dipersetujui mesyuarat MT dua minggu lalu kecuali jika ada pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu."Saya tidak pasti tetapi berkemungkinan besar satu atau dua bahagian dalam negeri ini akan mengadakan mesyuarat khas dalam masa terdekat."Seperti yang kita tahu, Umno adalah parti yang mengamalkan konsep demokrasi dengan menerapkan persaingan sihat di kalangan ahli dan masalah tidak akan timbul pada pemilihan parti akan datang jika semuanya berjalan mengikut prosedur dan undang-undang ditetapkan," katanya.Beliau turut memuji Adun Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir dan bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo yang berhasrat untuk bertanding merebut jawatan Ketua Pemuda Umno setelah penyandang jawatan itu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein membuat keputusan menarik diri daripada bertanding Disember ini. "Ini adalah satu persaingan yang sihat dalam politik di Malaysia dan segala persoalan serta kesulitan hanya akan terjawab selepas pemilihan parti akhir tahun ini," katanya.Sementara itu, beliau berkata, setakat ini hanya Umno Taiping dan Kampar yang membantah keputusan Badan Perhubungan Umno negeri yang menyarankan ketua kampung meletak jawatan selepas kerajaan campuran DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas mengambil alih pentadbiran negeri ini. Pada 1 April lalu, seramai 776 ketua kampung menghantar surat peletakan jawatan walaupun kontrak jawatan mereka hanya tamat pada 31 Disember ini. Mereka dilantik oleh kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) yang memerintah Perak sebelum ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan