10 November 2009

Pas Selangor belum terima arahan Pusat

Utusan - 10/11/09
SHAH ALAM 9 Nov. - Pas Selangor masih belum menerima sebarang arahan termasuk surat tunjuk sebab daripada Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung soal bai'ah yang dibuat melibatkan pemimpin-pemimpin parti itu di peringkat negeri ini.
Sebaliknya, Setiausaha Pas negeri, Mohd. Khairuddin Othman menjelaskan perkara tersebut diserahkan 'buat-bulat' kepada Abdul Hadi sama ada mahu menjalankan siasatan atau tindakan kerana sumpah itu turut dilakukan oleh kepimpinan Pas di tempat lain selain dari Selangor.
''Setakat ini, tiada arahan (daripada jawatankuasa Pas Pusat atau Presiden) mengenai siasatan amalan bai'ah ini di Selangor," katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada bai'ah menjatuhkan talak tiga terhadap isteri pemimpin Pas negeri ini jika keluar atau bertukar parti sebagai tanda kesetiaan mereka.
Khairuddin pada 6 November lalu menyatakan pernah membuat bai'aah berkenaan ketika dipilih sebagai calon pilihan raya kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras pada 2004 secara beramai-ramai di hadapan Pesuruhjaya Pas Selangor sebelum pilihan raya itu diadakan.
Menurutnya, bai'ah tersebut yang disediakan oleh Dewan Ulama Pas Pusat.
Bagaimanapun, Abdul Hadi menerusi laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini menafikan wujudnya bai'ah seumpama itu sama ada di peringkat Pas Pusat mahupun negeri termasuk di Selangor sendiri.
Malah, Abdul Hadi secara terbuka mahu satu siasatan dilakukan sama ada bai'ah tersebut berlaku di Selangor sahaja atau pun di negeri-negeri lain memandangkan tiada sebarang arahan dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pas Pusat ataupun Majlis Ulama mengenai tindakan dari dahulu sehingga hari ini.
Selain Abdul Hadi, dua Naib Presiden parti itu, Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub masing-masing turut menyatakan tidak tahu-menahu mengenai kewujudan bai'ah itu.
Sementara itu, Yang Dipertua Pas Shah Alam, Khalid Abdul Samad ketika dihubungi menyatakan beliau tidak tahu wujud bai'ah seperti itu melibatkan Pas negeri lain selain di Selangor.
Bagaimanapun, katanya, bai'ah sedemikian dikatakan pernah dibuat di Kelantan selepas Pilihan Raya Kecil DUN Pengkalan Pasir pada 2005.
Pada pilihan raya kecil itu, beliau memberitahu, kemenangan UMNO terhadap kerusi DUN berkenaan menyebabkan Pas mempunyai majoriti satu kerusi DUN sahaja di negeri itu iaitu 23 kerusi, manakala UMNO sebanyak 22 kerusi.
Namun, beliau menyifatkan bai'ah sedemikian tidak ada salahnya kerana ia merujuk dan tanda kesetiaan seseorang pemimpin terhadap parti bukan untuk menganiaya mana-mana pihak terutama isteri yang terlibat.
''Saya tidak tahu bai'ah ini ada dilakukan oleh Pas di negeri lain. Tetapi di Selangor, memang ada termasuk di Kelantan sebelum ini dan Salahuddin atau Mahfuz mungkin tidak tahu mengenai perkara ini." katanya.
/...

Tiada ulasan: