8 November 2009

Peserta seminar kecam Aziz Bari

Utusan - 08/11/09
KUALA LUMPUR 7 Nov. - Pakar Perlembagaan, Prof. Dr. Abdul Aziz Bari hari ini dikecam hebat beberapa peserta Seminar Memperkasakan Pas ekoran kritikan terbukanya terhadap kepimpinan presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Menurut mereka, apa yang disentuh Abdul Aziz adalah keterlaluan kerana ia seolah-olah cuba menjatuhkan kredibiliti Abdul Hadi sebagai pemimpin utama parti itu.
Lebih dikesalkan mereka, nada pembentangan kertas kerja Abdul Aziz hari ini amat berbeza dengan kritikannya yang dilaporkan oleh portal berita Malaysiakini.
"Saya minta penjelasan adakah profesor telah menarik balik apa yang ditulis kerana apa dikatakan hari ini berbeza dengan apa dituliskan sebelum ini," kata Setiausaha Dewan Pemuda Pas Pusat, Kamaruzzaman Mohamad.
Perkara sama turut disuarakan bekas Ketua Dewan Pemuda Pas, Datuk Abu Bakar Chik apabila beliau mempertikaikan tulisan tersebut kerana ia dilihat merendah-rendahkan kewibawaan Abdul Hadi.
"Kalau ikut hati saya tidak mahu hadir pada seminar hari ini dan melihat muka Profesor Aziz Bari tetapi untuk hari ini saja. Bagaimanapun setelah saya berfikir adalah lebih baik saya hadir menyertai seminar ini," katanya.
Abdul Aziz ketika memberi respons kepada kecaman itu berkata, tulisan itu dihasilkan melalui pengamatannya terhadap Pas selama ini kerana beliau juga adalah seorang penganalisis politik.
Ujarnya, beliau tidak berniat menjatuhkan kewibawaan seseorang tetapi semata-mata menyedarkan Pas daripada lamunan yang selama ini tidak disedari parti tersebut.
"Saya tiada kepentingan apa-apa kerana saya orang luar Pas. Yang perlu kukuhkan parti adalah saudara-saudara sendiri, bukan saya. Saya hanya boleh memberi pandangan tetapi tidak berhak untuk mengubah keadaan parti.
"Secara jujur saya melihat Pas sekarang telah menjadi semakin kuat dan saudara-saudara harus sedar dengan pencapaian ini Pas sentiasa diperhatikan oleh semua pihak sama ada kawan mahu pun lawan," katanya.
/...

Tiada ulasan: