26 Ogos 2010

Ibubapa empat remaja mohon maaf

Bernama - 26/08/2010 1:37pm

SEREMBAN 26 Ogos – Ibu bapa kepada empat remaja yang dikaitkan dengan perbuatan menyimbah cat dan membaling botol arak pada surau di Taman Pulai Impian, Sikamat, pada Isnin lepas, hari ini memohon maaf kepada jawatankuasa surau dan masyarakat Islam akibat perbuatan anak-anak mereka itu.

Cheng Kok Foo, 38; Wong Seow Wai, 43; Loh Teck Ai, 53; dan Leong Foong Kuen, 53, masing-masing memohon maaf dan bersalaman dengan pengerusi jawatankuasa surau itu, Mohd. Hasbi Ismail, dalam satu pertemuan anjuran MCA Negeri Sembilan di surau itu pagi ini.

Yang turut hadir Pengerusi MCA Negeri Sembilan, Datuk Dr. Yeow Chai Thiam dan Ketua UMNO Cawangan Taman Panchor Jaya, Arshad Jawi.

Ibu bapa kepada empat suspek itu memohon maaf kepada seluruh umat Islam, khasnya di taman perumahan itu, di atas perbuatan anak mereka yang telah menyinggung perasaan umat Islam.

Mereka melahirkan rasa kesal dan duka cita dengan kejadian itu yang mereka anggap sebagai satu kesalahan besar.

Selasa lepas, polis menahan empat remaja berusia 16 dan 18 tahun untuk membantu siasatan polis berhubung kejadian itu. Mereka kini ditahan reman selama empat hari.

/hwa: kosmo.com.my/

Tiada ulasan: