27 Ogos 2010

Pelan transformasi kerajaan diiktiraf

UM - 27/8/10

KUALA LUMPUR 26 Ogos - Penyenaraian Malaysia sebagai yang ke-37 terbaik di dunia dan ketiga di rantau Asia dalam aspek politik, ekonomi, pendidikan, kesihatan dan kualiti hidup disifatkan sebagai satu pengiktirafan terhadap pelan strategik transformasi kerajaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, selain itu pencapaian tersebut menjadi bukti kepada keberkesanan kepimpinan kerajaan dalam merencanakan pembangunan berimpak ke arah menjadikan Malaysia berstatus negara Islam progresif dan maju menjelang 2020.

Beliau berkata, ia juga merupakan hadiah hari jadi kepada negara yang bakal menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke-53 pada 31 Ogos ini.

"Sesungguhnya kejayaan Malaysia ini adalah hasil kerjasama menyeluruh dan kesepakatan daripada pelbagai lapisan masyarakat berbilang kaum dalam melaksanakan dasar ekonomi dan kewangan di samping kestabilan iklim politik dan keyakinan pelabur asing.

"Ini sejajar dengan tuntutan al-Quran yang sentiasa mengajar umat Islam supaya mendahulukan berbuat baik dan mengutamakan semangat perpaduan serta merukuni semangat silaturahim antara semua kaum dan agama. Resipi kekuatan ini harus dikekalkan demi kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan negara,'' katanya.

Beliau berkata demikian di dalam perutusan khas Perdana Menteri yang dikeluarkan di sini hari ini sempena sambutan Nuzul al-Quran esok.

Hasil kaji selidik majalah Newsweek edisi antarabangsa keluaran 23 hingga 30 Ogos menunjukkan Malaysia menduduki tangga ke-37 terbaik dunia dan ketiga di peringkat rantau Asia dalam aspek politik, ekonomi, pendidikan, kesihatan dan kualiti hidup.

Menurut majalah tersebut Malaysia menjadi pilihan kerana mampu menyediakan tempat untuk hidup lebih selesa dan sihat, selamat, sejahtera serta maju.

Dalam pada itu Najib dalam perutusannya meminta masyarakat Islam di negara ini menghayati peristiwa Nuzul al-Quran kerana ia menjadi asas keimanan terhadap al-Quran yang merupakan kalam Allah SWT.

Al-Quran juga katanya, merupakan sumber ilmu dan ketamadunan yang unggul dalam membina kekuatan dan mentransformasi umat sebagai khaira ummah iaitu satu ummah yang hidup bersatu padu dalam rahmat 1Malaysia.

"Kitab al-Quran adalah kitab 'induk' yang mempunyai panduan pelbagai ilmu pengetahuan bagi memajukan ummah melalui penguasaan ilmu pengetahuan.

"Melalui al-Quran umat Islam boleh mempelajari asas kreativiti dan inovasi serta memahirkan penggunaan teknologi terkini yang akhirnya boleh melahirkan umat yang dinamik dan cemerlang,'' katanya.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: